fbpx

Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Seorang wanita hamil mengalami kecederaan akibat diserang anjing jiran ketika cuba melindungi anak-anaknya dalam kejadian di Batu 9 Cheras, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.43 petang di tempat letak kereta sebuah kondominium berhampiran kawasan terbabit.

“Mangsa yang berusia 35 tahun itu cuba mempertahankan anak-anaknya daripada diserang seekor anjing berwarna putih sebelum haiwan terbabit menyerang mangsa.

“Akibat serangan itu wanita terbabit mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati anjing berkenaan milik serta peliharaan suspek wanita yang merupakan jiran di kawasan yang sama dipercayai tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara haiwan tersebut.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada pemilik anjing terbabit telah cuai melepaskan tali pengikat anjing menyebabkan haiwan itu bertindak luar kawalan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi supaya insiden terbabit dapat dielakkan.

Tambahnya, orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI