fbpx

Wak Doyok jauhi sensasi, kontroversi ‘aneh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAK DOYOK

SEBUT sahaja tentang nama usahawan dan juga pelakon Wak Doyok, terlintas tentang susuk seorang lelaki yang terkenal dengan imej ‘gentleman’ dalam berfesyen.

Selain fesyen pakaian ala lelaki Eropah yang digayakan, potongan rambut yang kemas dan jambang tersisir rapi juga menjadi daya penarik bagi lelaki berusia 43 tahun itu.

Bagi Wak Doyok atau nama lengkapnya Mohd. Azwan Mohd. Nor, fesyen sudah menjadi minatnya dari dahulu walaupun kerjaya asalnya bukanlah dalam bidang berkaitan.

Sebelum melibatkan diri dengan dunia perniagaan dan juga hiburan, tidak ramai yang tahu lelaki berasal dari Teluk Pulai, Klang, Selangor itu asalnya pernah bekerja dalam pelbagai bidang.

Antaranya, dia pernah menjadi operator kilang dan juruteknik bahagian pemasangan kenderaan.

Namun, minatnya yang mendalam dalam bidang fesyen membuatkan Wak Doyok membulatkan tekad meninggalkan kemahiran yang dipelajarinya dan beralih fokus terhadap dunia glamor fesyen pada 2009.

“Dahulu saya bukan siapa-siapa. Tiada orang pun kenal saya. Saya ‘naik’ berdasarkan cemuhan masyarakat terhadap apa yang saya bawa (fesyen).

“Apa yang saya buat adalah berdasarkan kesukaan sendiri. Dengan adanya platform media sosial, saya kongsikan cara ‘grooming’ diri untuk bergaya,” ujarnya.

WAK Doyok menganggap kebencian masyarakat sebagai pendorong semangat buatnya. Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Kata pelakon filem Nasi Lemak 1.0 itu lagi, lumrah menjadi seseorang yang dikenali, pasti ada sahaja pihak yang tidak senang dengan apa yang dia lakukan.

Bagaimanapun, Wak Doyok menganggap kebencian masyarakat sebagai motivasi untuk membakar semangatnya.

“Sebenarnya orang yang suka lagi ramai berbanding mereka yang membenci disebabkan saya membawa imej bersih dan tidak keterlaluan.

“Cuma sewaktu saya memperkenalkan baju Melayu yang mengikut potongan bentuk badan (slim fit), saya memang dikecam teruk masyarakat. Namun lama- kelamaan, mereka sudah boleh menerima gaya tersebut sehingga menjadi trend semasa,” katanya.

Hari ini, seolah menjadi lumrah apabila seseorang usahawan terjun dalam dunia glamor dan mencetuskan kontroversi untuk menarik perhatian masyarakat.

Bagaimanapun bagi Wak Doyok, dia tidak mahu mensensasikan dirinya dengan perkara-perkara aneh seperti menunjukkan kemewahan semata-mata atas tujuan mahu netizen berasa kagum.

“Cara sebegitu sudah lapuk. Saya tidak pernah pun tunjuk duit untuk buatkan masyarakat kagum atau mempamerkan kebendaan.

“Alhamdulillah, sudah 12 tahun produk saya bertahan di pasaran, malah berkembang ke beberapa buah negara Asia Tenggara lain terutamanya Indonesia,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan kerjayanya sebagai pelakon, Wak Doyok enggan kelihatan tamak melakukan pelbagai kegiatan.

Sebaliknya lelaki itu hanya menjadikan kerjaya tersebut sebagai sampingan.

“Fokus utama saya masih dalam bidang perniagaan. Untuk berlakon, kalau ada tawaran menarik dan sesuai dengan masa, baru saya akan pertimbangkan,” ujar Wak Doyok yang pernah menggantikan posisi pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Min-ho sebagai duta minuman kopi di Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI