SETIU – Keakraban dua beradik bersama sepupu perempuan mereka berterusan sehingga ke hujung nyawa apabila mereka maut dalam kejadian lemas di Lata Changkah, Ulu Seladang di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 2.30 petang itu mengorbankan Syaridatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan adiknya, Syaridatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aishah Mazalan, 19.
Ibu dua beradik berkenaan, Sarimah Awang, 62, berkata, Syaridatul Nurfatihah dan Syaridatul Noor Safiqa yang merupakan anak kedua dan keempatnya amat rapat dengan Siti Aishah sejak kecil.
“Kami bergerak dari rumah di Kampung Hilir Maras, Kuala Nerus ke Lata Changkah pada pukul 10.30 pagi dengan menaiki dua kereta.
“Sewaktu di dalam kereta, mereka amat ceria dan saling bergurau antara satu lain,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Setiu di sini semalam.
Syaridatul Nurfatihah dan Siti Aishah masih bujang, manakala Syaridatul Noor Syafiqa pula telah berkahwin dan mempunyai dua anak. Dua beradik itu merupakan kakitangan swasta, manakala Siti Aishah pula penuntut Pusat Giat Mara Batu Rakit, Kuala Nerus.
Mengimbas kejadian tersebut, Sarimah berkata, mereka biasa berkelah di Lata Changkah yang terletak berhampiran rumah adiknya di Kampung Ulu Seladang.
Tambahnya, mereka memutuskan untuk mandi di lokasi yang agak terpencil sedikit berikutan terlalu ramai pengunjung berkelah di lokasi berkenaan kelmarin.
“Saya meninggalkan mereka mandi untuk membawa salah seorang cucunya yang mengantuk menumpang tidur di rumah adik berhampiran.
“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan memaklumkan dua anak dan sepupu mereka lemas,” katanya.
Sarimah berkata, anak sulungnya, Sariatul Syafira, 32, juga kini dirawat di wad Hospital Setiu kerana turut hampir lemas sewaktu cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa.
Beliau berkata, jenazah ketiga-tiga mangsa selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras pada pukul 4.30 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila salah seorang daripada mangsa tiba-tiba dihanyutkan arus deras.
Beliau berkata, ahli keluarga yang lain termasuk Sariatul Syafira cuma membantu sebelum dua lagi mangsa turut lemas.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa naik ke tebing dengan bantuan pengunjung lain sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu.
“Begitupun, sebaik tiba, pegawai perubatan bertugas mengesahkan ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Terkilan gagal selamatkan adik ipar, sepupu lemas
SETIU – Seorang pemandu ambulans terkilan gagal menyelamatkan tiga ahli keluarganya termasuk dua adik ipar yang maut akibat lemas di Lata Changkah, Ulu Seladang di sini kelmarin.
Ahmad Syariefuddin Hashim, 30, berkata, dia sedaya upaya menyelamatkan dua adik ipar perempuannya, Syaridatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan Syaridatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aishah Mazalan, 19, tetapi tidak kesampaian.
“Insiden berlaku dengan pantas dan kami agak kelam-kabut. Saya hanya sempat menyelamatkan isteri, Sariatul Syafira, 32, dan seorang lagi sepupu lelaki berusia 13 tahun.
“Saya sendiri hampir lemas kerana mengerah kudrat sepenuh tenaga, namun kami bertiga bernasib baik sempat disambut beberapa pengunjung lain yang membantu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Setiu di sini semalam.
Ahmad Syariefuddin berkata, kejadian lemas berlaku sewaktu mereka mahu naik ke tebing setelah puas mandi di lata tersebut selama hampir dua jam sejak pukul 12.30 tengah hari.
Jelasnya, sewaktu kejadian, sebahagian ahli keluarganya yang lain termasuk ibu mentuanya, Sarimah Awang dan dua anaknya sudah berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Ulu Seladang berhampiran.
“Kami tiba-tiba mendengar jeritan seorang daripada adik ipar dan sepupu perempuan meminta tolong setelah dipercayai tergelincir ke kawasan air yang agak dalam,” katanya. -KOSMO! ONLINE