fbpx

Rakam Bebaskan Aku guna telefon, Yasin Sulaiman ubati rindu anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIRIK lagu Bebaskan Aku yang dirakamkan Yasin menggunakan telefon dari penjara.

PETALING JAYA – Demi mengubati kerinduan anak, Yasin Sulaiman mengalunkan lagu baharu ciptaannya berjudul Bebaskan Aku dari balik tirai besi di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Perkongsian rakaman dendangan dalam Instagram penyanyi dan komposer itu yang dikendalikan ahli keluarga terdekatnya nyata mengundang rasa sebak.

“Ini klip audio Yasin menyanyikan lagu Bebaskan Aku yang dicipta pada bulan Mei lalu.

“Semasa lawatan penjara yang lepas, Malaika meminta ayahnya menyanyikan lagu ini untuknya.

“Beberapa hari kemudian, kami meminta Yasin menyanyikan lagu ini semula dalam panggilan telefon supaya dapat direkod dan dihayati semua,” tulis pengendali akaun.

Video berdurasi tiga minit 45 saat yang disertakan seni kata lagu adalah bagi memenuhi permintaan puterinya Malaikha, 7, yang juga anak bongsu daripada dua bersaudara.

Hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, mereka dikurniakan dua cahaya mata termasuk putera sulung, Sameer yang kini sudah mencecah usia 12 tahun.

Menerusi hantaran video yang disertakan, penyanyi Mimpi Laila itu mengalunkan karya yang dihasilkannya dengan sepenuh jiwa hingga ke bait akhir lagu.

Bebaskan Aku berkisar keinginan penyanyi itu mendambakan kehidupan bebas seperti dahulu bersama insan tersayang.

Menerusi ruangan komen, ramai warga maya tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat supaya dia terus kuat menghadapi dugaan.

Terdahulu, pada 31 Mac lalu Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac 2022.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, mengikut pertuduhan didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI