SEBERANG PERAI – Sebuah pusat belia baharu yang dianggarkan bernilai RM45 juta akan dibangunkan di kawasan Paya Keladi, Kepala Batas di sini tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pusat berkeluasan lebih 10 hektar itu lengkap dengan segala fasiliti untuk kemudahan penduduk setempat beriadah dan sebagainya.
“Pusat itu akan mempunyai sebuah mini stadium moden yang dilengkapi lampu limpah, padang sintetik dan ada trek. Kemudian, ada padang biasa pula untuk latihan balapan dan ada juga arena tertutup untuk sukan-sukan seperti bola keranjang dan badminton.
“Selain itu, ciri terpentingnya ialah ada ‘e-sport’ arena (arena sukan elektronik) yang mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa. Maknanya, jika ada sebarang kejohanan di Pulau Pinang ini di peringkat antarabangsa, maka, ia boleh dianjurkan di pusat belia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Anak Muda dan merasmikan Esport Youth Cabin berhampiran Wisma UMNO Kepala Batas di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sebuah penginapan atau asrama bercirikan kabin yang dilengkapi dengan kafe ‘hipster’ juga akan dibangunkan di pusat belia itu nanti.
“Kos pembinaannya (RM45 juta) ini telah diluluskan dan ia sedang di peringkat Kementerian Kewangan.
“Saya jangkakan majlis pecah tanah (pembinaan) projek ini akan bermula tahun ini juga,” katanya yang menganggarkan tempoh siap projek pembinaan pusat belia itu akan mengambil masa sehingga dua tahun. – KOSMO! ONLINE