MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak besar kepala sekiranya tidak mahu berdepan kemungkinan diketepikan.
Ketika ini, United sedang melakukan ‘pembersihan’ dalam pasukan dalam usaha mereka membina semula era gemilang skuad The Red Devils dengan melepaskan mana-mana pemain yang enggan menyambung kontrak.
Difahamkan, Ten Hag juga sudah menghantar e-mel peribadi kepada setiap pemain United dengan menegaskan, setiap pemain adalah sama tidak kira sama ada mereka berstatus bintang sekalipun.
“Pengurus baharu (Ten Hag) sudah menghantar e-mel kepada semua pemain utama yang memberitahu mereka bola sepak adalah permainan berpasukan, bukannya individu. Oleh itu, beliau amat mementingkan kerjasama dalam pasukan.
“Sekiranya ada pemain yang ingkar dengan arahan tersebut, mereka mungkin berdepan disingkirkan daripada kelab. Beliau tidak teragak-agak untuk menggantikan pemain utama dengan pemain muda,” kata sumber dalaman United.
Pada masa sama, bekas jurulatih Ajax itu juga meletakkan kecergasan pemain sebagai keutamaan dan semua pemain tidak terkecuali untuk mengikuti rejim latihan yang sudah dirangka.
“Beliau mahukan latihan intensiti tinggi dan semua pemain perlu patuhinya tidak kira apa pun status mereka. Ten Hag percaya, pasukan yang memiliki kecergasan tinggi mampu untuk menampilkan aksi terbaik,” ujarnya. – AGENSI