fbpx

NSL: Selangor Angels ‘berpeluh’ atasi NS Venom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KARISHMA (kiri) menjadi penyumbang utama jaringan buat Selangor Angels ketika menewaskan NS Venom pada aksi NSL di Stadium Juara sebentar tadi. - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Pengalaman dimiliki barisan pemain Selangor Angels merupakan faktor utama kejayaan mereka menewaskan Negeri Sembilan (NS) Venom 44-36 di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

Ia menyaksikan Selangor Angels mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga dalam carta liga sepusingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 untuk saingan minggu kedua.

Goal attack Selangor Angels, Karishma S. Loganathan muncul pemain paling menyinar dengan banyak jaringan jarak jauh buat skuad bimbingan Azizah Abu itu sepanjang 60 minit aksi tersebut.

Trio pertahanan diketuai goal keeper, Zawani Nisha Habib Rahman, Nur Firra Syuhada Hasrin (goal defend) dan Nurshamilia Md. Samsudin (wing defend) turut memainkan peranan penting buat Selangor Angels.

Apa tidaknya, mereka sentiasa menghadirkan kesukaran buat jentera serangan pihak lawan ketika melakukan jaringan meskipun NS Venom bangkit merapatkan jurang mata kepada 17-24 di suku kedua.

GOAL SHOOTER Selangor Angels, Siti Aminah Ahmad dikawal ketat pertahanan NS Venom sepanjang aksi NSL di Stadium Juara sebentar tadi. – AFIQ RAZALI

Perubahan taktikal dilakukan Selangor Angels pada suku ketiga dan keempat telah mengubah momentum serta tempo permainan untuk menguasai baki 30 minit aksi tersebut.

Begitupun, pujian harus diberikan kepada semua pemain NS Venom kendalian Nur Hidayah Mustafar yang tidak berputus asa dan bersaing sengit dengan Selangor Angels biarpun akhirnya tetap tewas 36-44.

Kemenangan itu kembali membuka peluang Selangor Angels untuk cuba menyelinap ke kelompok dua teratas yang ketika ini dihuni dua pasukan pilihan, Kuala Lumpur Wildcats dan Johor Jewels.

Sebagai rekod, Selangor Angels akan menghadapi dua aksi terakhir mereka minggu depan menentang Pahang Tulips (18 Jun) dan Johor Jewels pada 19 Jun ini. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI