fbpx

Klinik bola jaring NSL beri manfaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peserta bergambar bersama selepas mengikuti klinik bola jaring NSL 2022 di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

BEKAS pemain kebangsaan, Fazdlun Abas memuji inisiatif yang dilakukan Astro Rewards apabila menganjurkan empat siri klinik bola jaring Netball Super League (NSL) 2022 dengan komuniti setempat sepanjang bulan ini.

Klink NSL 2022 yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu berjaya menarik minat lebih kurang 40 peserta pada penganjuran siri pertama dan kedua hujung ­minggu lalu.

Menurut Fazdlun, penganjuran klinik bola jaring itu memberikan pe­ngalaman berharga kepada peserta kerana mendapat tunjuk ajar daripada bekas pemain kebangsaan.

“Saya sendiri membawa anak-anak saya untuk mendedahkan mereka dengan sukan bola ja­ring. Saya tidak mahu membuang masa, saya terus ambil peluang ini.

“Mereka berminat tetapi tiada platform sebelum ini kerana tak semua sekolah aktif dalam sukan bola jaring. Jadi ia sesuatu yang bagus sebagai pendedahan kepada anak-anak,” kata Fazdlun.

Para peserta bukan sahaja diajar teknik-teknik yang betul se­perti balingan, pertahanan, malah mereka juga merasai pe­ngalaman bermain simulasi perlawanan semasa program itu berlangsung.

Penolong Naib Presiden Astro Rewards, Shahrin Zukir berpuas hati dengan perjalanan program itu setakat ini yang merupakan salah satu langkah mereka mendekati komuniti bola jaring.

“Kami ingin memberikan semula kepada pelanggan untuk merasai pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Sebab itu kami membawa bekas-bekas pemain negara kendalikan klinik bola jaring NSL.

“Mereka sendiri yang membuat silibus sepanjang program. Ini juga salah satu langkah untuk memberi pengetahuan asas kepada pemain-pemain muda dan pada masa sama buat ibu bapa,” jelasnya.

Siri ketiga program itu dijadualkan pada 14 Jun ini buat kategori wanita bawah 15 tahun, manakala siri keempat akan diadakan keesokannya dengan penyertaan terbuka lelaki dan wanita.

Selain Fazdlun, beberapa bekas pemain kebangsaan turut memeriahkan program itu, antaranya Noramirah Dayanah Noor Azhar, Siti Nor Farhana Mustafa, Puah Pei San dan Yap Suo Ken.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI