TAWAU – Seorang wanita warga emas bersama anak perempuannya ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah dalam kejadian di Kampung Titingan Jalan Tawau lama lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, semua mangsa rentung dikenali sebagai Sadiah Jabar, 70-an dan Kamisah Mapiasah, 40-an ditemui di dalam sebuah rumah jenis dua tingkat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.53 tengah malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota diarahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan lima rumah iaitu tiga jenis tidak kekal terbakar 100 peratus dan dua lagi jenis separuh kekal terbakar 40 peratus serta 60 peratus.
“Anggota bertugas mendapati terdapat dua mangsa ditemui dalam keadaan rentung. Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi terkawal pada pukul 1.32 pagi dan ditamatkan pada pukul 3.08 pagi,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE