PETALING JAYA- Pelaksanaan konsep SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) terus diperluaskan di Kota Belud, Sabah dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam satu kenyataan berkata, perluasan itu memberi terjemahan pihaknya begitu komited dalam mengukuhkan hala tuju strategik SMART SBB selari aspirasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengukuhkan kelestarian industri.
“Antara matlamat utama SMART SBB BERNAS adalah untuk membina sistem pertanian dan jaringan pesawah yang lebih dinamik. Ini sekaligus dapat membantu pesawah dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui peningkatan hasil padi berkualiti.
“Sebagai syarikat peneraju tunggal dalam membangunkan SMART SBB di negeri Sabah, Bernas kini melebarkan keluasan hektar di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud dengan penglibatan seramai 40 pesawah tempatan,” katanya di sini tadi.
Menurut Bernas, pesawah turut didedahkan kepada pelbagai latihan pertanian bagi memperkasakan pengetahuan serta kemahiran mereka.
“Ini termasuklah pengamalan teknologi terkini seperti dron dan jentera yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman padi serta jadual kerja ladang yang merupakan kaedah amalan pertanian tepat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Blok Skim Jawi-Jawi Kota Belud , Rajumin Jamrin menyifatkan program SMART SBB memberi pelbagai manfaat kepada mereka.
“Melalui program ini, ianya membantu kami untuk mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik selain turut menerima bimbingan Bernas dalam penetapan jadual kerja ladang.
“Keadaan itu sekaligus dapat membantu kami dalam meningkatkan hasil padi serta pendapatan kami,” katanya. -KOSMO! ONLINE