PETALING JAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan supaya beberapa kerosakan infrastruktur di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor dapat dibaiki segera.
Arahan itu dibuat selepas Perdana Menteri membuat lawatan mengejut ke kompleks berkenaan hari ini yang menjadi antara pintu utama menghubungkan Malaysia dan Singapura.
“Membuat tinjauan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bharu pagi ini bersama-sama Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
“Kompleks ini sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya. Saya mendapati kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan ‘autogate’ untuk pemegang pasport Malaysia,” tulisnya ringkas di Facebook rasmi miliknya tadi.
Susulan itu, Ismail Sabri mengarahkan agar kerosakan itu dapat diatasi segera sekali gus memberi lebih keselesaan khususnya kepada warganegara yang berulang alik antara Johor dan Singapura.
“Kekurangan ini perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia merupakan salah satu pintu masuk utama negara,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Onn Hafiz melawat kompleks berkenaan yang kini sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya.
Beliau turut mengambil peluang untuk bertemu dengan orang ramai yang berada di kompleks tersebut sama ada mereka yang mahu kembali ke Malaysia atau memasuki Singapura. -KOSMO! ONLINE