PUTRAJAYA – Pemimpin rantau Asia Tenggara seharusnya lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar yang telah berlaku lebih setahun lalu.
Perkara itu antara disentuh oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika diundang khas sebagai ahli panel pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia di Singapura semalam.
“Saya mengulangi keperluan untuk ASEAN mencari cara baharu dan kreatif yang inklusif serta komprehensif kerana isu Myanmar kebelakangan ini kurang mencapai kemajuan,” katanya.
Persidangan tahunan sejak 2002 itu yang turut dikenali sebagai Dialog Shangri-La dianjurkan badan pemikir global, Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IIIS) berpusat di London, Britain.
Krisis di Myanmar tercetus apabila kaunselornya, Aung San Suu Kyi digulingkan junta tentera pada 1 Februari 2021 kerana didakwa menang pilihan raya umum 2020 secara taktik kotor.
Mengulas lebih lanjut, beliau dalam nada kecewa mendedahkan perkembangan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang ditetapkan ASEAN tahun lalu untuk Myanmar amat perlahan.
Kekesalan beliau itu turut disokong oleh Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Dr. Noeleen Heyzer yang juga antara panel diundang pihak IIIS pada kali ini.
“ASEAN mesti kembali kepada ‘papan lukisan’ yang rapi dan menilai semula peta solusi lebih terperinci untuk mencapai segala konsensus itu dalam jangka masa sesuai,” jelas Saifuddin. – KOSMO! ONLINE