MEMAHAT nama sebagai anak seni tanah air bukan satu laluan yang mudah, namun bagi bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019, Anna Jobling, keikhlasan hati dan tidak menjual wajah jelita semata-mata merupakan prinsip dirinya.
Selain itu, baginya, kerjaya yang dibina berasaskan gosip murahan dan kontroversi ciptaan untuk dikenali ramai tidak mampu membuatkan seorang selebriti bertahan lama dalam industri seni.
Anna Jobling, sepotong nama yang mungkin masih lagi asing dalam dunia industri tempatan sebelum ini.
Entah bagaimana, rezeki yang umpama ‘jatuh dari langit’ membuatkan namanya tiba-tiba meledak dalam media sosial selepas muncul menerusi drama popular Melur Untuk Firdaus. Anna bergandingan dengan hero semakin meningkat naik, Meerqeen.
Jutaan pujian diraih, sehingga namanya menjadi sebutan warga maya. Lebih gah, naskhah tersebut turut tular sehingga ke peringkat global sekali gus memacu perhatian peminat dari Indonesia, Filipina dan Thailand.
Kerjaya seseorang pelakon ibarat bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meledak. Itulah yang sedang didakap jelitawan berusia 21 tahun itu ketika ini, rezekinya boleh diibaratkan bulan jatuh ke riba.
Bahkan, tidak keterlaluan sekiranya meletakkan dirinya sebagai antara pelapis heroin yang akan memenuhi skrin televisyen mahupun layar perak kelak dengan pakej yang dimilikinya.
‘Cantik itu bonus’
Berpeluang berbual panjang bersama pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu baru-baru ini, dia berkali-kali menegaskan tidak akan menjual wajah jelita yang dimiliki semata-mata untuk meraih sesuatu perkara.
Dilahirkan berdarah kacukan Melayu-England, dia memandang wajah jelita sebagai satu bonus yang diberikan oleh Tuhan kepadanya.
“Sebagai wanita berdarah kacukan, ada kelebihan dan kesukaran dalam beberapa aspek kehidupan.
“Bagi saya, memiliki wajah cantik merupakan satu bonus dan jika pandai gunakan, pasti akan memberi pulangan kepada pemiliknya. Namun, jangan pula salah guna ke arah yang tidak baik semata-mata untuk meraih populariti segera,” tuturnya tegas.
Ujarnya, dia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang cerita kurang enak seperti dirinya menjual kecantikan hanya untuk mendapatkan tawaran kerja.
Malah, dia turut menjadikan Diana Danielle sebagai contoh terbaik sebagai salah seorang selebriti berdarah kacukan yang berjaya memahat nama dalam industri seni tanah air dengan usaha keras sendiri.
“Saya tahu bukan mudah nak menempa nama di Malaysia. Orang kata jika tiada kontroversi sukar untuk dikenali dan bertahan. Strategi saya mudah, bekerja secara ikhlas dan bukan menjaja wajah cantik sahaja.
“Kalau boleh, saya memang nak elak nama naik dengan cerita murahan. Syukur, itulah yang saya dapat sekarang iaitu dikenali menerusi drama dan watak Melur.
“Jika di Malaysia, saya jadikan Diana Danielle sebagai contoh. Dia berdarah kacukan tetapi pandai bawa diri dalam industri,” katanya panjang lebar.
Sebagai pendatang baharu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga enggan namanya naik terlalu mendadak kerana risau andainya nanti dia berada di puncak untuk tempoh yang singkat.
“Jiwa saya sebagai anak seni dalam bidang ini sangat menebal. Jika terlalu mengejar glamor memang tidak akan bertahan lama.
“Rasa-rasanya tidak perlulah popular secara mendadak sebab nanti jangka hayat dalam industri sebentar sahaja,” jelasnya yang pernah membintangi filem Pasal Kau.
Baiki kelemahan diri, tak layan kecaman
Tiada rasa segan mengakui dirinya masih mempunyai banyak kekurangan dalam lakonan, pelakon drama Oh My Hantaran itu optimis enggan berhenti mencari jalan memperbaiki setiap kelemahannya.
Bagi Anna, kelas lakonan merupakan salah satu inisiatif terbaik untuk pelakon baharu sepertinya menimba ilmu dan mencari kekuatan diri.
“Pelakon baharu memang perlu hadiri kelas lakonan untuk belajar cara bermain dengan emosi, intonasi dan mendalami watak yang diberikan dengan baik.
“Saya bersyukur kerana pihak pengurusan menghantar saya menyertai kelas lakonan sebelum membintangi drama Melur Untuk Firdaus. Sekurang-kurangnya lakonan saya tidaklah terlalu ‘kayu’ dan bahasa Melayu juga sudah semakin fasih,” katanya lagi.
Ditanya tentang kecaman, Anna memberitahu, komen negatif semakin kurang diterimanya ketika ini, namun dia terbuka dengan segala teguran membina untuk kerjayanya.
“Sebagai pendatang baharu, saya amalkan prinsip berjaga-jaga dan bersikap terbuka untuk terima apa sahaja komen mahupun kecaman ramai.
“Jika ada komen membina, saya memang akan ambil tetapi untuk kecaman biasa-biasa, abaikan sahaja.
“Tidak perlu bazirkan tenaga dan emosi melayan semua itu. Namun saya sedar itu sebahagian perkara yang saya perlu hadap untuk bergelar anak seni,” jelasnya yang kini gembira ramai memanggilnya dengan nama Melur.
Lelaki ‘mulut manis’
Sempat mengusik, sebagai seorang selebriti wanita yang semakin dikenali ramai, pastinya pernah melalui pengalaman didekati mana-mana pihak untuk menjalin hubungan cinta.
Tidak menafikan hal tersebut, Anna berkata, dia pernah menerima mesej dari lelaki dalam media sosial yang mengajaknya bercinta dan menabur janji manis kepadanya.
“Tipulah jika cakap tiada tetapi saya memang tak layan langsung. Mungkin sebab usia masih muda dan sedang membina kerjaya.
“Selalunya mereka akan direct message (DM) dalam Instagram dengan ayat-ayat manis. Bila saya baca rasa kelakar dan abaikan sahaja. Paling saya ingat ayat mereka: “Hai Anna, saya janji akan layan awak seperti puteri.”
“Saya abaikan dan move on. Mungkin nampak macam romantis tetapi bagi saya, memang tak akan layan. Setakat ini, tidak pernah lagi terima mesej berbaur lucah, hanya dipenuhi dengan komen netizen tentang Melur.
“Di luar, memang ramai panggil saya Melur. Melekat nama itu. Jika ada anak perempuan nanti, saya akan namakan dia Melur,” tutup Anna ceria.