fbpx

Amerika Syarikat catat inflasi tertinggi sejak 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

WASHINGTON – Kenaikan harga barang di Amerika Syarikat (AS) yang berlaku lebih pantas berbanding jangkaan ekoran peningkatan kos tenaga dan makanan, mengakibatkan kadar inflasinya mencecah paras tertinggi sejak tahun 1981, lapor Badan Penyia­ran Britain (BBC) kelmarin.

Kadar inflasi tahunan AS meningkat kepada 8.6 peratus Mei lalu selepas reda pada April lepas, kata Jabatan Buruh.

Kos sara hidup tinggi semakin menghimpit isi rumah di negara itu dan memberi tekanan kepada pemimpin-pemimpin untuk mengawal keadaan.

Peningkatan inflasi itu mendorong Bank Pusat AS menaikkan kadar faedah sejak Mac lepas.

Penganalisis-penganalisis berharap langkah itu dapat meredakan aktiviti ekonomi dan mengurangkan tekanan harga.

Bagaimanapun, konflik antara Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga minyak dan komo­diti seperti gandum melambung tinggi, menyukarkan pentadbiran AS untuk menangani krisis kenaikan harga.

Harga makanan melonjak lebih 10 peratus pada bulan lalu berbanding Mei 2021, manakala kos tenaga meningkat lebih 34 peratus. 

Laporan yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan peningkatan harga berlaku di seluruh sektor ekonomi sekali gus mendorong kenaikan hampir semua jenis barangan dan perkhidmatan, daripada tiket penerbangan hinggalah kepada pakaian serta perkhidmatan perubatan.

“Begitu banyak perkara berlaku yang menunjukkan inflasi makin memuncak. Harga barangan melepasi jangkaan dengan pe­ningkatan tahunan sebanyak 8.6 peratus dan berlaku dalam masa paling pantas sejak lebih 40 tahun lalu.

“Lebih teruk, peningkatan berlaku hampir di semua sektor ekonomi,” kata ketua penganalisis kewangan di Bankrate.com, Greg McBride.

AS bergelut dengan masalah kenaikan harga sejak tahun lalu yang berpunca daripada usaha pemulihan ekonomi secara drastik dan perbelanjaan besar oleh kerajaan akibat kejutan disebabkan pandemik Covid-19.

Inisiatif itu mencetuskan kekurangan bekalan yang mendorong peniaga-peniaga menaikkan harga.

Masalah itu diburukkan lagi dengan perang di Ukraine dan perintah berkurung ketat Covid-19 di China.

Kenaikan kos itu menjejaskan kuasa beli rakyat dan mengehadkan perbelanjaan isi rumah, manakala pegawai-pegawai memberi amaran bahawa kadar pertumbuhan di kebanyakan negara berisiko mengalami kemerosotan mendadak.

“Perang di Ukraine, sekatan pergerakan di China, gangguan rangkaian bekalan dan risiko stagflasi menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Bagi kebanyakan negara, kemelesetan akan sukar untuk dielakkan,” kata Presiden Bank Dunia, David Malpass minggu ini.

Berita kenaikan inflasi itu menyebabkan pasaran saham AS merudum dengan ketiga-tiga indeks utamanya susut lebih 2 peratus. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI