MOSCOW – Rangkaian makanan segera Russia yang dahulunya McDonald’s memperkenalkan logo baharu menjelang pembukaan semula restorannya esok, lapor Badan Penyiaran British (BBC).
Logo baharu itu menampilkan sebuah bulatan dan dua garisan yang mewakili sebiji burger dan dua jejari kentang.
Syarikat itu masih belum mendedahkan nama baharu rangkaian restoran tersebut, namun beberapa cadangan telah dipertimbangkan.
Pada Mei lalu, McDonald’s dilaporkan mahu menamatkan operasinya di Russia selepas Moscow melancarkan perang ke atas Ukraine.
Perkembangan itu berlaku ketika rangkaian restoran yang dahulunya McDonald’s itu dijadualkan membuka semula 15 restorannya hujung minggu ini, demikian menurut agensi berita TASS yang memetik kenyatan firma berkenaan, Sistema PBO.
“Latar belakang hijau logo itu melambangkan kualiti produk dan perkhidmatan yang biasa digunakan oleh tetamu kami,” kata jurucakap Sistema PBO kepada TASS.
Pengguna-pengguna di media sosial mengulas bahawa logo baharu itu masih kelihatan seperti huruf M.
Ada yang berkata bahawa logo baharu itu seolah-olah diilhamkan oleh bendera Bangladesh yang juga mempunyai latar belakang hijau gelap dan bulatan merah dalam rona serupa.
Menurut akhbar Izvestia, Sistema PBO telah menyerahkan lapan cadangan nama untuk rangkaian restoran baharu itu kepada agensi kerajaan Rusia yang bertanggungjawab ke atas harta intelek, Rospatent.
Antara nama dipertimbangkan termasuk Tot Samyi bermaksud ‘yang sama’ dan Svobodnaya Kassa atau ‘daftar tunai yang tersedia’. – Agensi