SHAH ALAM – Bekalan telur ayam pelbagai gred didapati tidak terjejas di negeri ini, namun rata-rata peniaga mendakwa harga diperoleh daripada pembekal meningkat RM1 sepapan.
Situasi ini menyebabkan peniaga runcit terpaksa meningkatkan harga jualan mereka.
Berdasarkan tinjauan telur bagi gred AA hingga C dijual antara RM13 hingga RM15.10.
Seorang peniaga mahu dikenali Shariz, 28, berkata, kenaikan harga itu berlaku sejak akhir tahun lalu dan tiada pilihan selain menaikkan harga jualan bagi memastikan kelestarian perniagaannya.
“Mengapa harga telur ayam dari ladang naik, kena tanya peladang dan pembekal sendiri.
“Sekarang kami peniaga tiada pilihan apabila harga diterima amat tinggi,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Menurutnya, dia menerima di antara 300 hingga 500 papan telur ayam pelbagai gred daripada pembekal setiap minggu.
“Justeru itu, saya tidak meletakkan had maksimum berapa banyak papan telur ayam yang hanya boleh dibeli seseorang pelanggan.
“Malah sekiranya mereka beli sekurang-kurangnya lima papan telur dalam satu pembelian, saya memberi mereka diskaun,” ujarnya.