PETALING JAYA – Paras sungai di empat negeri dilaporkan mula melepasi peringkat amaran dan bahaya susulan hujan lebat sejak petang tadi.
Menurut laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 7 malam tadi, kesemua sungai terbabit terus menunjukkan trend meningkat.
Paras air di stesen Pulau Ilo iaitu Sungai Terengganu mencatatkan bacaan 145.37 meter (m) melebihi paras bahaya.
Selain itu, tiga lagi sungai setiap satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dilaporkan hanya melepasi paras amaran dengan trend meningkat.
Berdasarkan laporan JPS, paras air di stesen Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak merekodkan bacaan 23.62m melebihi paras amaran.
Bagi di sebelah selatan, turut dilaporkan melepasi paras amaran dengan bacaan 62.94m di Sungai Muar, Kuala Pilah manakala 1.76m di Sungai Melaka.
Terdahulu Kosmo! melaporkan amaran cuaca buruk diramalkan melanda beberapa kawasan melibatkan sembilan negeri sehingga awal malam ini. – KOSMO! ONLINE