SEPERTI dijangka, Selangor Angels tidak berdepan banyak masalah apabila berjaya mencatat kemenangan 61-39 ke atas Melaka Mystic pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup menarik dan tidak mensia-siakan peluang untuk melancarkan serangan ke arah lawan masing-masing.
Melaka yang dilabelkan sebagai pasukan underdog bagaimanapun tidak memberi laluan mudah buat Selangor apabila memberi tentangan sengit dan berjaya mengekori rapat 11-12 pada suku masa pertama.
Bersambung suku masa kedua, Melaka terus memberi tekanan kepada Selangor sehingga berjaya mengikat kedudukan 15-15 sebelum skuad kendalian Azizah Abu memperkamaskan permainan dan mendahului 27-19.
Walaupun tidak diperkuatkan oleh penjaring terbanyak musim lalu, An Najwa Azizan, namun peranan yang dimainkan goal attack (GA), L. Karishma dan goal shooter (GS), Siti Aminah Ahmad pada perlawanan tersebut cukup berkesan.
Melaka dilihat kembali garang pada suku masa ketiga dan berjaya merapatkan kedudukan 31-39, namun Selangor menyerap tekanan itu sebelum menamatkan suku masa tersebut dengan kelebihan 10 mata 41-31.
Aksi suku masa keempat menyaksikan Melaka masih belum berputus asa untuk mengejar kedudukan apabila melakukan serangan demi serangan tetapi masih belum mampu menafikan kemenangan Selangor.
Kemenangan itu sekali gus mencerahkan peluang Selangor untuk menamatkan saingan liga sepusingan dalam kelompok empat pasukan teratas bagi memastikan tempat di pusingan separuh akhir.