fbpx

Pejuang Britain, Maghribi dihukum mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIDEN Aslin (kiri), Shaun Pinner (tengah) dan Saadun Brahim dituduh menjadi askar upahan untuk Ukraine. - Twitter

MOSCOW – Militia pemisah pro-Moscow menjatuhkan hukuman mati terhadap dua pejuang Britain dan pejuang ketiga dari Maghribi selepas mereka ditangkap tentera Russia semasa berperang di Ukraine, lapor beberapa agensi berita Russia kelmarin.

Mahkamah Agung Republik Rakyat Donetsk menjatuhkan hukuman mati terhadap Aiden Aslin, Shaun Pinner dan Saadun Brahim selepas ketiga-tiga mereka dituduh menjadi askar upahan untuk Ukraine, lapor agensi berita TASS.

“Ketiga-tiga mereka akan me­rayu keputusan tersebut,” kata peguam mewakili mereka, Pavel Kossovan kepada TASS.

Menurutnya, Aslin, Pinner dan Saadun juga boleh memohon pengampunan.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Oleg Nikolenko menyifatkan perbicaraan tersebut lebih memen­tingkan propaganda daripada undang-undang.

Semasa perbicaraan yang berlangsung selama tiga hari, ketiga-tiga lelaki itu mengaku bersalah melakukan perbuatan merampas kuasa dan cuba menumbangkan perlembagaan Republik Rakyat Donetsk, kata agensi beri­ta Interfax.

Kedua-dua rakyat Britain itu menyerah diri pada April lalu di bandar pelabuhan Mariupol, selatan Ukraine. Bandar raya itu ditawan selepas dikepung oleh tentera Russia selama beberapa minggu.

Saadun pula menyerah diri di bandar Volnovakha, timur Ukraine pada Mac lepas.

Pada April lalu, kedua-dua rakyat Britain itu muncul dalam paparan oleh stesen televisyen kerajaan Russia dan meminta supaya Perdana Menteri Boris Johnson merundingkan pembebasan mereka. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI