Sejak negara memasuki fasa peralihan endemik mulai 1 April lalu, kesesakan lalu lintas semakin teruk di Lembah Klang sehingga membuatkan tahap tekanan dan gangguan emosi pemandu kereta melonjak.
Misalnya bagi jarak perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer sahaja, masa diperlukan untuk sampai ke tempat kerja pada waktu puncak hampir dua jam. Ini tidak termasuk lagi sekiranya berlaku kemalangan.
Keadaan ini jika berlarutan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Manakan tidak, setiap hari pergi balik terpaksa menempuh kesesakan luar biasa.
Tekanan semakin memuncak apabila berhadapan pula dengan ragam pemandu lain yang sesuka hati memotong barisan, langgar lampu isyarat merah dan memandu secara berbahaya.
Situasi ini menyebabkan pemandu akan lebih cepat marah, sakit hati dan sakit jiwa, malah sakit kepala dengan perangai pemandu seperti itu.
Bagi pemandu kereta yang tiada pilihan kenderaan lain, mereka terpaksa reda untuk terus mengharungi kesesakan lalu lintas setiap hari.
Namun, bagi mereka yang tidak lagi mampu menempuh jalan sesak, motosikal adalah pilihan terbaik selain menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).
Dengan menunggang kenderaan dua roda itu, pastinya boleh sampai ke sesuatu destinasi dengan lebih cepat sambil melihat kereta bersesak-sesak di atas jalan raya.
Lebih menarik, usia yang ada tidak banyak terbuang dengan hanya menghadap kesesakan trafik setiap hari dan kos petrol juga boleh dijimatkan.
Tidak hairanlah permintaan motosikal terutama kapcai berkapasiti enjin 150cc ke bawah kini semakin meningkat selepas ramai warga kota mula beralih menggunakan kenderaan itu untuk ke tempat kerja.
Permintaannya tinggi sehingga stok terhad. Jika ditempah hari ini, mungkin dua atau tiga bulan baru dapat.
Malah rakyat juga perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga yang dijangka semakin meningkat susulan keadaan pasaran semasa serta situasi ekonomi global selain Ringgit yang lemah.
Antara motosikal yang laku keras seperti Yamaha Y135LC, Yamaha Y150ZR, Yamaha Y16ZR dan Honda Rs-X.
Bagaimanapun, risiko terlibat kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal adalah tinggi berbanding memandu kereta.
Walaupun ada yang sanggup menempuh risiko bahaya itu berbanding menempuh kesesakan luar biasa, namun nyawa cuma ada satu, bukan dua atau tiga yang ada seperti alat ganti.
Tabiat ‘cilok’ dengan menyelit di celahan kereta atau lori secara melulu dan terlalu laju selain melanggar lampu isyarat merah boleh mengancam nyawa.
Bukan semua pemandu kereta peka atau prihatin dengan penunggang motosikal, ada yang sesuka hati mengubah laluan tanpa melihat cermin sisi atau memberi signal terlebih dahulu.
Dengan menunggang motosikal secara berhemah, lebih berhati-hati, tidak kelam-kabut dan tidak terburu-buru mampu mengurangkan risiko terlibat kemalangan maut. Kita mampu mengubahnya.