fbpx

Kim Pan-gon jemput Tunku Ismail saksi aksi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON menjemput Tunku Ismail ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain malam ini.

MENGAMBIL kira sumbangan yang sudah dilakukan terhadap bola sepak negara, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon ‘menjemput’ Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bahrain, malam ini.

Menyedari ramai pemain menghargai usaha dilakukan Tunku Ismail, jurulatih dari Korea Selatan itu merasakan kehadiran pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membantu meningkatkan motivasi pemain untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

“Kita ada ramai pemain daripada Johor, jadi jika baginda datang sokong, pastinya pemain akan dapat motivasi. Saya faham pemain sukakan baginda dan pasti ia akan dapat membantu kita,” katanya pada sidang akbar praperlawanan Malaysia dan Bahrain semalam.

Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong JDT dikejutkan apabila Tunku Ismail mengambil keputusan untuk berundur daripada mengendalikan Harimau Selatan kerana mengambil kira tanggungjawab serta komitmen lain.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, Tunku Ismail hanya akan melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada Pengurusan JDT.

Namun katanya, baginda masih kekal sebagai pemilik kelab serta terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Pan-gon nyata terkejut dengan keputusan Tunku Ismail dan menyifatkan situasi ini akan merugikan arena bola sepak negara.

Pan-gon menegaskan, beliau sudah sedia maklum pengaruh yang dimainkan Tunku Ismail kepada bola sepak Malaysia.

“Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.

“Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI