KUALA LUMPUR – Dentuman kuat umpama bunyi mercun termasuk jeritan kuat ibu mengejutkan seorang penguni rumah berkenaan kebakaran yang berlaku di kediamannya yang terletak berdekatan Pasar Keramat di Kampung Datuk Keramat, di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang hanya mahu dikenali Mohd. Shahril, 39, berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya, Sharifah, 72, berada kediaman tersebut.
“Semasa sedang tidur, saya terdengar bunyi dentuman kuat umpama bunyi mercun menyebabkan saya terkejut sekitar pukul 2 pagi.
“Pada masa sama, saya terdengar ibu menjerit kuat beritahu kedai pakaian terpakai (bundle) yang terletak bersebelahan rumah terbakar,” ujarnya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Ekoran kejadian itu, katanya, dia dan ibu bergegas keluar dari rumah kerana bimbang api merebak ke kediaman.
“Ketika berada di luar rumah, kami dapat lihat api merebak ke rumah lalu membakar bilik stor, bilik menjahit dan bilik air dan memusnahka barang elektrik termasuk mesin jahit kesayangan ibu,” katanya.
Ujarnya, mesin jahit itu amat bermakna buat ibu kerana dengan mesin jahit itulah ibu menyaranya empat beradik selepas dia bergelar ibu tunggal.
“Meskipun sudah berusia 72 tahun, ibu masih menjahit pakaian, namun dia jahit pakaian rakan dan saudara rapat sahaja sebagai hobi. Dia banyak habiskan masa dengan menjahit,” ujarnya.
Mohd. Shahril yang bekerja sebagai perunding hartanah amat bersyukur kerana kebakaran itu hanya melibatkan bilik stor, bilik menjahit dan bilik air serta tidak melibatkan keseluruhan kediaman.
Katanya, anggaran kerugian yang dialaminya dianggarkan sekitar RM30,000 hingga RM40,000.
Terdahulu, Pasar Keramat di Kampung Datuk Keramat, di sini terbakar lagi buat kali kedua pada awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku di kawasan berkenaan pada 17 Mac 2021 lalu melibatkan lebih 40 lot kedai. – KOSMO! ONLINE