PERIBAHASA ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ mungkin frasa paling tepat menggambarkan hasrat pelakon jelita Sara Ali apabila impiannya berlakon dalam sebuah naskhah berbentuk aksi akhirnya terlaksana.
Bagi Sara, peluang berlakon dalam filem bergenre aksi bukan selalunya hadir dan dapat dikecapi oleh para pelakon lain kerana mereka dipilih berdasarkan kesesuaian watak yang diberikan.
Menerusi filem patriotik berjudul Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Sara atau nama lengkapnya Siti Sarah Hairi Ali puas dan gembira dapat merealisasikan impian yang lama dipendam.
Ujar Sara, selepas ditawarkan membintangi filem berkenaan, dia tidak berfikir panjang untuk bersetuju menyambar peluang keemasan tersebut.
Kepuasan
Lebih menggembirakan Sara, dia memberitahu tidak perlu menjalani sesi uji bakat kerana watak yang digalas iaitu sebagai seorang wartawan dalam filem tersebut memang khas untuk dirinya.
“Saya pernah cakap pada diri sendiri bahawa suatu hari nanti, saya akan dapat peluang berlakon dalam filem aksi atau perang. Mungkin rezeki saya, tiba-tiba peluang itu datang.
“Walaupun tidak membawakan watak sebagai salah seorang anggota tentera, peranan saya sebagai Natrah iaitu seorang wartawan turut berdepan cabaran bagi menjayakan filem aksi,” katanya.
Dedah pelakon kelahiran Batu Pahat, Johor itu, sebelum ditawarkan berlakon dalam Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, dia terlebih dahulu menerima tawaran untuk sebuah filem aksi yang lain. Pun begitu, dia dengan rela hati menolak kerana skrip filem tersebut gagal menarik minatnya.
“Apabila menerima sesuatu naskhah, saya akan teliti dahulu skripnya. Bukan memilih, tapi melalui skrip, baru saya dapat ‘feel’ dan faham tentang watak yang perlu digalas.
“Malangnya, filem yang ditawarkan itu tidak menarik dan saya tidak suka. Walaupun ramai kata saya akan rugi kerana filem tersebut dijangka ‘meletup’, tapi tidak kisah kerana saya lebih mementingkan kepuasan,” ujarnya.
Berbeza ketika disua tawaran membintangi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, dia mendakwa terus jatuh cinta selepas kali pertama membaca skrip filem tersebut kerana itulah yang dia mahukan selama ini.
Natrah
Menjayakan watak sebagai seorang wartawan, Sara mengakui bukan mudah sebenarnya untuk menggalas peranan sebagai seorang pelapor berita.
“Saya memegang watak sebagai Natrah, seorang wartawan yang menulis laporan khas. Untuk menjayakan watak tersebut, saya ada juga buat sedikit kajian demi menjadikan peranan saya sebagai wartawan lebih berkesan.
“Saya juga menjalani latihan bercakap dengan gaya penyampaian seorang wartawan di hadapan kamera. Bahasa Melayu yang digunakan juga perlu tepat dan tersusun. Itu juga menjadi antara cabaran saya menjayakan watak Natrah.
“Tetapi hanya ada beberapa babak saya memainkan peranan sebagai wartawan, selebihnya saya terlibat dalam konflik yang lebih mencabar,” katanya.
Penggambaran yang memakan masa selama lebih dua bulan turut membuatkan jiwa Sara seolah-olah tertinggal di lokasi, walaupun kerja pembikinan filem sudah lama berakhir.
Ujar pelakon yang memiliki raut wajah tegas itu, dia sukar membuang karakter Natrah dan perlu mengambil masa untuk mengembalikan dirinya yang asal.
“Saya seperti melalui ‘post traumatic stress disorder’ sehingga tercari-cari rakan-rakan dalam filem ini. Sedangkan saya tahu mereka semua ada kehidupan masing-masing.
“Saya ambil masa untuk keluar bersama rakan-rakan lain dan bergaul kerana sejujurnya jiwa saya tertinggal di lokasi penggambaran filem ini,” jelasnya.
Hasrat besar
Disoal tentang punca jiwanya begitu kuat terikat dengan filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See tersebut, Sara berkata, penghayatannya terhadap karakter yang diberikan menjadi punca dia sukar meneruskan kehidupan selepas selesai menjalani penggambaran.
“Ada sesetengah cerita, kita menjayakan penggambaran mengikut lokasi, maknanya tidak mengikut turutan babak.
“Tetapi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa agak berbeza. Penggambaran dilakukan mengikut turutan babak. Hari ini babak satu, dua dan seterusnya.
“Jadi, itu antara punca hubungan barisan pelakon lebih akrab. Hal ini kerana kami merasakan karakter dilakonkan mengikut jalan cerita,” jelasnya.
Menyimpan hasrat besar, Sara berharap filem patriotik tersebut dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia memandangkan negara kini sedang dalam peralihan ke fasa endemik Covid-19.
“Filem ini memang tiada kaitan dengan dugaan Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia. Tapi masyarakat boleh mengambil semangat dari filem ini untuk bangkit semula.
“Air Force The Movie: Selagi Bernyawa tidak hanya mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia. Saya sebak dan yakin bahawa anda juga dapat merasainya,” katanya.