PETALING JAYA – Penyanyi Farawahida mengakui tidak pernah putus harapan apatah lagi mengalah bagi mendapatkan zuriat hasil perkahwinan keduanya.
Katanya, dia dan suami, Zulkifli Alias sememangnya sudah bersedia andai rezeki untuk dikurniakan anak diberikan Allah kepada mereka.
“Insya-Allah saya memang menunggu. Dengan usia saya sekarang, tipulah kalau kata saya tidak mahukan anak.
“Itu doa saya dan harapkan kalian juga boleh mendoakan yang baik-baik juga. Manalah tahu, dalam ramai-ramai Allah SWT makbulkan doa,” katanya.
Tambah pelantun yang popular menerusi lagu hit Tanpamu itu, dia mengakui perkahwinan kedua ini jauh lebih bermakna dan mahu dinikmatinya sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang memahami dan kami mempunyai banyak persamaan dan minat yang sama.
“Cuma, kepada sesiapa yang mengenali, saya memang jenis yang tidak terlalu berkongsi soal peribadi.
“Malah, kisah sebelum ini (perkahwinan terdahulu), saya tidak menguar-uarkan sangat kerana perlu menjaga privasi keluarga dan keluarga bekas suami,” katanya.
Sebelum ini, dia selamat diijabkabulkan bersama Zulkifli dalam sebuah majlis ringkas yang berlangsung di sebuah masjid di Taiping, Perak 19 Mac tahun lalu.
Terdahulu, Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali, 37, pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Shukor Mohd. Zain pada 16 Disember 2013.
Namun, sejak 2017 terdapat khabar angin yang mendakwa dia telah bercerai selepas dilihat tidak lagi memuat naik sebarang gambar dengan Abdul Shukor.
Farawahida bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan tidak pernah mendedahkan perkahwinannya bersama Abdul Shukor telah berakhir.
Perkahwinan tersebut tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE