KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menjalinkan usaha kerjasama dan menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip parti itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun, sebarang kemasukan atau kerjasama parti baharu ke dalam gabungan itu perlu dibincangkan di peringkat pimpinan Dewan Tertinggi BN.
“Selepas mengemukan perkara ini dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lalu, ini memberikan gambaran bahawa ketersediaan kita menerima bukan hanya Parti Bangsa Malaysia (PBM) tetapi parti lain sebesar atau sekecil mana pun.
“Bagaimanapun, kita belum buat keputusan tetapi tentunya hasrat PBM untuk sertai BN sampai kepada saya, namun saya tidak akan membuat keputusan seorang diri dan akan bincangkan dengan rakan pimpinan Dewan tertinggi untuk mencanaikan secara rasmi mana-mana pihak memohon sertai BN,” katanya kepada pemberita di Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) bertemakan ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, Menara Dato Onn, hari ini.
Jelas Zahid, keputusan berkenaan juga dibuat berikutan perlembagaan BN yang melibatkan tiga kategori merangkumi parti teras, parti gabungan atau ‘friends of BN’.
katanya, ketiga-tiga asas itu memperlihatkan keterbukaan bagi menerima mereka yang yakin dengan pejuangan BN untuk bersama-sama dengan gabungan itu.
“Saya tidak kategorikan sama ada khemah itu besar, kecil atau sederhana. Yang penting khemah BN sedia untuk bekerjasama dengan siapa sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.