BANGKOK – Seorang bekas bintang pop Thailand memulakan perniagaan baharu dengan mengumpul wajah manusia yang sudah meninggal dunia, lapor laman berita Thaiger semalam.
Jakkapong ‘Jill’ Karnsomphot bersama saudara kembarnya, Jakkaphan ‘Jack’ Karnsomphot mengumpul kulit muka mayat kering mereka yang berpengaruh dan dihormati dalam komuniti semasa masih hidup.
Jack-Jill sudah lama berhenti bermain muzik tetapi kini kembali menjadi tumpuan apabila netizen berkongsi gambar dan video 20 kulit muka mayat kering milik mereka di media sosial.
Jill memberitahu media bahawa dia memulakan perniagaan membeli dan menjual pelbagai azimat Thai bersama abangnya selepas menamatkan kerjaya muzik mereka.
Dia menerima 20 kulit muka kering itu secara kebetulan daripada seorang lelaki misteri bernama Pong yang berusia 91 tahun dan ditemui di bandar Ayutthaya pada 2009.
Mereka bertemu Pong kerana lelaki itu terlibat dalam dunia seni persembahan Thailand.
Jill berkata bahawa setiap kulit muka itu dipercayai suci dan kononnya boleh membawa tuah kepada sesiapa yang berdoa atau memilikinya.
Kulit muka manusia digunakan dalam dunia persembahan teater dan diturunkan daripada generasi ke generasi. Sesetengah kulit muka itu dipercayai berusia lebih 100 tahun.
Ahli keluarga Pong tidak tahu cara berdoa dan menjaga koleksi kulit muka itu jadi dia memberikannya kepada Jill sebelum meninggal dunia. – Agensi