LONDON – Seorang pakar antropologi meramalkan bahawa ubat bagi mencetuskan perasaan cinta dipercayai akan berada dalam pasaran dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Ahli antropologi Universiti Oxford, Dr. Anna Machin berkata, ubat tersebut mungkin termasuk oksitosin atau juga digelar sebagai ‘hormon cinta’ untuk menimbulkan kembali perasaan cinta dalam diri seseorang.
Ubat berkenaan yang merupakan sejenis antidepresi, mungkin akan diberikan kepada individu yang murung akibat ditinggalkan kekasih di samping membantu pasangan yang bermasalah.
“Terdapat banyak persoalan berkaitan etika berhubung ubat ini, namun ia sememangnya akan diperkenalkan (di pasaran).
“Kami tahu mengenai neurokimia cinta yang mencadangkan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kebolehan seseorang dalam mencari cinta atau meningkatkan peluang anda untuk kekal dalam sesuatu hubungan.
“Sudah pasti satu daripada perkara tersebut sedang dikaji secara komersial. Bayangkan berapa banyak wang yang mampu dijana? Semuanya bergantung kepada kajian ubat cinta ini,” ujarnya. – Agensi