SUNGAI PETANI – Masalah kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini menyebabkan berlaku kenaikan harga di pasaran sejak seminggu lalu.
Pihak pemborong dan peruncit pula didakwa tertekan apabila menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan telur untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, harga runcit telur ayam Gred C sebelum ini RM9.70 (sekarang RM11.70); Gred B sebelum RM11 (sekarang RM13), manakala Gred A sebelum RM13 (sekarang RM15-RM16) dijual di pasaran.
Seorang pemborong, Ah Swee Kee, 50, dari Kuala Ketil berkata, kekurangan bekalan di pasaran bermula seminggu lalu sehingga harganya turut melonjak tinggi.
“Akibat bekalan telur ayam di pasaran berkurang, harganya naik antara 10 hingga 20 peratus.
“Jadi saya terpaksa mengehadkan tempahan peruncit atau mengurangkan kuantiti tempahan sehingga turut menjejaskan perniagaan yang diusahakan lebih 20 tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, pihak peniaga juga tidak menolak kemungkinan harga telur mengalami kenaikan menjelang Aidiladha depan kerana permintaannya meningkat.
Peruncit, Shuib Nayan, 60, yang menjual telur di Pasar Pagi Taman Ria, di sini berkata, dia difahamkan bekalan dari ladang berkurang sehingga peniaga terpaksa membeli telur ayam kampung untuk memenuhi permintaan pengguna.
“Telur ayam kampung gred AA dijual dengan harga RM16 sepapan (30 biji), gred A (RM15), gred B (RM12) dan gred C (RM11).
“Harga telur ayam didapati meningkat lebih tinggi berbanding minggu lalu kerana kekurangan bekalan di pihak pemborong dan kedai runcit,” ujarnya.