GOMBAK – Kegembiraan sekumpulan remaja mandi sungai bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki maut akibat lemas dalam kejadian di Sungai Lagong, di sini petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.25 petang.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah lemas ketika mandi bersama empat rakan di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bomba telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama satu jam sebelum berjaya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Jelasnya, pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE