KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) meminta seorang individu membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai dakwaan wujud unsur rasuah bagi pengubahsuaian sebuah rumah di daerah ini.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, permit ubah suai dan pelan lulus rumah itu dikeluarkan kepada perunding pada 2012.
Jelas beliau, ubah suai itu turut sudah mendapat persetujuan jiran di kawasan perumahan berkenaan.
“Aduan yang dikemukakan oleh pengadu selepas kelulusan diberi sudah diambil tindakan oleh MPK.
“Selain itu, perunding telah dilantik bagi mengenal pasti punca keretakan dan perakuan kekukuhan struktur tambahan rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lebih tujuh minit bertajuk ‘MPK Rasuah, hancurkan rumah saya’ yang memaparkan seorang individu menunjukkan keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan akibat pengubahsuaian rumah jirannya.
Tegas Norfiza, MPK mengalukan individu itu membuat laporan untuk melakukan siasatan ke atas mana-mana kakitangan yang disyaki.
“Kami sememangnya sentiasa menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti.
“MPK juga tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak memfailkan tindakan undang-undang ke atas individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah seumpama itu.
“Ia terutama melibatkan pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan MPK terutama tuduhan rasuah atau salah laku moral lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE