fbpx

Manjakan anak, jangan sampai mereka jadi ‘tuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

MELIHAT kehidupan remaja sekarang terlalu jauh bezanya dengan gaya hidup zaman penulis dahulu yang penuh dengan cabaran dan rintangan.

Jangan katakan gajet, basikal dalam satu kampung pun boleh dibilang dengan jari, manakala hiburan kami pula adalah te­levisyen semata-mata.

Namun, persahabatan ketika itu cukup erat sehingga satu kampung mengenali budak itu anak siapa, yang ini anak siapa.

Pada waktu itu juga kami cukup lasak, diajar pelbagai ilmu mempertahankan diri, mengaji al-Quran pada waktu malam, diajar ikhtiar hidup sama ada di sekolah menerusi aktiviti berpersatuan atau di rumah oleh ahli keluarga.

Dari segi disiplin pula, guru-guru di sekolah memang tegas dan ibu bapa pula tidak ‘mencabar’ tugas guru merotan pelajar nakal, menggunting rambut atau mengenakan denda kepada mereka yang bersalah.

Silap hari bulan jika kami me­ngadu kepada orang tua, ‘balasan’ yang kami dapat itu mungkin akan berganda.

Begitulah generasi terdahulu mendidik anak-anak sehingga mereka menjadi ‘manusia’ yang kuat dan tidak ‘lembik’ serta manja berbanding generasi sekarang.

Apabila melihat generasi sekarang, penulis berasa sedih, kecewa dengan perangai ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga langsung tidak boleh ditegur atau ‘dijentik’.

Umpamanya, seperti kisah tular guru menggunting rambut pelajar di sebuah sekolah sehingga menjadi bualan di media sosial.

Sebenarnya, sudah termaktub sejak dahulu lagi guru boleh mengambil tindakan ke atas pelajar yang hadir ke sekolah dengan berambut panjang.

Disebabkan ibu bapa terlalu obses dan manjakan anak-anak isu ini diperbesarkan sehingga seolah-olah guru pula yang bersalah kerana mengambil tindakan sedemikian.

Memetik perkongsian pakar keluarga dan kasih sayang, Dr. Rozieta Shaary, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menginterpretasikan kasih sayang terhadap anak mengikut asas didikan dan kepercayaan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, jika ibu bapa terlalu berlembut de­ngan anak ibarat memberi ruang sebesar mungkin untuk mereka melakukan apa saja, tanpa kawalan atau had.

Lebih membimbangkan, sikap ibu bapa sebeginilah yang mendidik anak menjadi tuan.

“Sekalipun ibu bapa ini nampak begitu lembut dan penuh kasih sayang, namun sebenarnya ia boleh merosakkan peribadi, sikap dan masa depan anak.

“Terlalu diturutkan semua kemahuan dan diberi kebebasan sepenuhnya, tidak mustahil suatu hari nanti ibu bapa dijadikan ‘alas kaki’ buat si anak. Manakala anak pula terus menjadi raja hingga dewasa,” tegasnya.

Justeru nasihat penulis, sebagai ibu bapa kita perlu contohi masyarakat terdahulu dalam mendidik anak-anak, bukan tidak boleh manjakan mereka, tetapi berpada-padalah.

Supaya apabila kita ‘meninggalkan’ mereka suatu hari nanti mereka dapat berdikari dan menjadi insan yang kuat serta berdisiplin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI