TAMPIN – Majlis Daerah Tampin (MDT) menyita 109 premis kediaman di daerah ini berikutan kedegilan pemiliknya menjelaskan tunggakan bayaran cukai taksiran melebihi tempoh enam tahun.
Yang Dipertua MDT, Zahari Md Afandi berkata, operasi sitaan tersebut melibatkan 13 taman perumahan di kawasan Tampin, Gemencheh dan Gemas dengan jumlah tunggakan sebanyak RM184,803.65.
“Lokasi terlibat antaranya di Taman Indah Baru, Taman Clonlee, Taman Gunung Mas, Kampung Dusun, Taman Desa Permai Repah, Taman Regent, Taman Dato Taha, Taman Muhibbah, Taman Melor 2, Taman Pekan Gemencheh Baru, Taman Desa Permai Gemas, Taman Sentosa Gemas dan Pekan Gemas,” katanya ketika ditemui di MDT di sini hari ini.
Ujar Zahari lagi, antara alasan yang diberikan oleh pemilik premis kediaman adalah masalah kewangan, namun pihak MDT mendapati kebanyakkan premis yang dikenakan tindakan sitaan itu tidak menunjukkan keadaan kengkangan kewangan.
“Ada premis kediaman yang disita dilengkapi kemudahan kediaman yang baik serta bernilai tinggi, namun gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran sekitar RM150 setahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik premis kediaman yang ingin mengelak dikenakan tindakan sitaan untuk menjelaskan segera tunggakan cukai taksiran atau membuat perbincangan bagi pembayaran ansuran di MDT.
“Orang awam juga boleh menyemak dan membuat bayaran cukai taksiran secara dalam talian melalui laman sesawang Pbtpay. Layari https://pbtpay.kpkt.gov.my/,” katanya. – KOSMO! ONLINE