GENEVA – Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala memberi amaran bahawa krisis makanan global akibat perang di Ukraine akan berlarutan hingga beberapa tahun jika sekiranya tiada campur tangan segera, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Beliau berkata, negara-negara di Benua Afrika adalah yang paling terjejas terutamanya apabila bekalan gandum dan baja dunia makin berkurangan.
Berjuta-juta tan bijirin kini tersadai di gudang-gudang selepas pelabuhan utama di Ukraine disekat oleh Rusia ketika konflik Moscow-Kiev memasuki bulan keempat kelmarin.
Okonjo-Iweala menyifatkan situasi kini sangat menyedihkan dan menjadi punca harga bijirin seperti gandum melambung tinggi di pasaran antarabangsa.
Ukraine adalah pengeksport gandum utama dan menyumbang sembilan peratus kepada pasaran global.
Negara itu juga merangkumi 42 peratus daripada pasaran minyak bunga matahari global dan 16 peratus tanaman jagung.
Sekatan Rusia ke atas pelabuhan-pelabuhan di Laut Hitam menyebabkan 20 hingga 25 juta tan gandum menunggu masa untuk mereput di Ukraine ketika harga bijirin global meningkat mendadak
Okonjo-Iweala berkata, harga gandum melonjak 59 peratus berbanding tahun lepas dengan harga minyak bunga matahari meningkat 30 peratus, manakala jagung 23 peratus lebih tinggi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini mengetuai usaha untuk cuba mewujudkan koridor bijirin supaya kapal-kapal dagang dapat meninggalkan Odessa dan pelabuhan lain di Ukraine dengan selamat.
Setakat ini, hanya dua juta tan bijirin dieksport dari Ukraine melalui kereta api dan lori sekali gus jumlah yang jauh lebih rendah berbanding kadar eksport biasa mencecah ratusan juta tan.
Menurut Okonjo-Iweala, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah membentuk sebuah pasukan bertindak bagi mengkaji isu-isu berbangkit tersebut.
“Beliau cuba bekerjasama dengan Rusia untuk melihat sama ada satu perjanjian boleh dicapai untuk membenarkan eksport bijirin, jadi kami akan terus berusaha.
“Jika tidak, situasi buruk akan menimpa seluruh dunia”, kata Okonjo-Iweala.
Menurutnya, sebanyak 35 negara Afrika mengimport makanan dari rantau di Laut Hitam itu yang merangkumi Ukraine dan Rusia, manakala 22 yang lain mengimport baja.
“Anda boleh bayangkan betapa besar impak ini walaupun hanya di Benua Afrika.
“Saya harap kita tidak mengalami krisis makanan yang sangat buruk untuk beberapa tahun akan datang,” ujarnya. – Agensi