fbpx

Kos sara hidup di kota raya Asia paling mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berjalan di hadapan sebuah blok pangsapuri di Hong Kong pada 20 Mei 2022. – AFP

HONG KONG – Asia muncul be­nua paling mahal untuk didiami tahun ini apabila lima bandar rayanya berada pada kedudukan teratas senarai  berkenaan oleh syarikat mobiliti global, ECA International, lapor stesen penyia­ran CNN kelmarin.

Berdasarkan laporan tahunan ECA, Hong Kong, Tokyo, Shanghai, Guangzhou dan Seoul adalah  lima bandar di Benua Asia yang menduduki 10 tempat teratas.

Malah, Hong Kong  turut dinobatkan bandar  paling mahal untuk didiami buat kali ketiga berturut-turut.

Ranking ECA itu memberi  tumpuan kepada pekerja asing dan ekspatriat. 

Ia dirangka  berdasarkan pelbagai faktor termasuk harga makanan isi rumah seperti susu dan minyak masak di samping  kos sewa rumah, bil utiliti, kos pengangkutan awam serta pengukuhan mata wang tempatan.

Pengarah Serantau ECA, Lee Quane berkata, pengukuhan ekonomi menjadikan bandar-bandar di China semakin mahal untuk didiami.

“Kebanyakan bandar di China yang menduduki senarai ini mempunyai kadar inflasi lebih tinggi daripada yang kita lihat sebelum ini, namun masih rendah berbanding lokasi-lokasi lain di Asia,” katanya.

Sementara itu, Singapura muncul kota raya paling mahal untuk didiami di rantau Asia Tenggara, namun mengekalkan kedudukannya di tangga ke-13 meskipun terdapat peningkatan ketara dalam kos sara hidup sejak setahun lalu.

 “Singapura mengekalkan kedudukan  di tangga  yang sama meskipun kadar inflasinya kini  lebih tinggi  disebabkan peningkatan kos sewa rumah, utiliti dan minyak petrol.

“Keadaan ini didorong oleh kelemahan dolar Singapura berbanding mata wang  lain seperti yuan dan dollar Amerika Syarikat (AS),” jelas Quane.

Jirannya, Kuala Lumpur jatuh enam anak tangga untuk berada di kedudukan 163 bagi bandar paling mahal untuk didiami, manakala  Bangkok turun 13 anak tangga di tempat ke-47.

Dalam pada itu, kedudukan sebahagian besar negara Benua Eropah dalam senarai  tersebut merosot disebabkan oleh kelemahan mata wang euro.

Ibu kota Perancis, Paris  yang pernah mengungguli senarai itu telah terkeluar daripada  30 kedudukan utama, selain  Madrid, Rom dan Brussels yang  turut merekodkan penurunan.

“Kedudukan hampir semua  bandar utama di Eropah merosot tahun ini disebabkan oleh kelemahan mata wang euro berban­ding dolar AS dan pound British,” ujar Quane.

Faktor luaran lain yang memainkan peranan adalah politik dan konflik antarabangsa termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Perang itu menyaksikan  Moscow berada di tangga ke-62, manakala St Petersburg pada kedudukan ke-147.

Sebanyak 10 buah bandar yang menduduki tempat teratas senarai berkenaan adalah   Hong Kong diikuti oleh Bandar Raya New York, Geneva, London, Tok­yo, Tel Aviv, Zurich, Shanghai, Guangzhou dan  Seoul. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI