fbpx

Jangan biarkan pengunjung ‘hilang arah’ saat bercuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BERCUTI bersama keluarga ke lokasi menarik sama ada di dalam atau luar negara pastinya meninggalkan detik-detik manis dan pengalaman berharga dalam kehidupan seseorang.

Bagaimanapun, kenangan manis yang diharapkan pastinya bertukar sebaliknya disebabkan beberapa insiden kurang enak didengar biarpun dianggap remeh oleh sesetengah orang.

Baru-baru ini, keterujaan sebuah keluarga untuk bercuti ke sebuah pulau tersohor di Pantai Timur sempena cuti persekolahan hampir pudar disebabkan apa yang berlaku di jeti untuk menaiki bot ke pulau berkenaan.

Selepas mendapatkan tiket bot di pejabat sebuah agensi yang mengendalikan urusan pelancongan ke pulau itu, mereka bergegas ke jeti kerana dimaklumkan bot akan bertolak pada bila-bila masa.

Apabila tiba di jeti, kelihatan ramai orang, mungkin masing-masing melepaskan geram setelah lebih dua tahun tidak dapat melancong ke mana-mana lokasi di dalam negara.

Apa yang sedikit mendukacitakan, tiada sebarang makluman dibuat mana-mana wakil daripada agensi terbabit tentang ketibaan bot, sebaliknya pelancong sendiri yang terpaksa bertanyakan kepada sesiapa sahaja yang ditemui berhubung perkara itu.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana sesetengah pengunjung, itu adalah kali pertama mereka bercuti ke pulau idaman dan sudah pasti memberikan gambaran negatif kepada industri pelancongan negara.

Apa yang sepatutnya dilakukan pihak agensi yang menjual tiket bot tersebut adalah mengumpulkan orang yang menempah tiket dengan mereka di satu lokasi.

Mereka kemudian hanya perlu memaklumkan tentang sama ada bot yang ditunggu sudah sampai atau sebaliknya kepada pengunjung.

Dengan itu, tidaklah orang ramai tercari-cari bot yang perlu mereka naiki ke sana ke mari dengan bertanyakan setiap individu yang mereka jumpa.

Nasib baik tempat penginapan dan aktiviti percutian selama beberapa hari di pulau berkenaan tidak memberikan banyak masalah, kalau tidak ia sudah tentu menjadi mimpi ngeri yang tidak mungkin dilupakan seumur hidup.

Cuma ada satu insiden yang kurang enak untuk dihebohkan antara pengunjung dengan pemilik sebuah gerai di pulau berkenaan yang tidak mahu mengaku kesilapan mereka ketika mengambil pesanan makanan.

Ini menyebabkan bukan seorang, tetapi beberapa orang yang datang kemudian, pesanan mereka tiba dahulu dan apabila ditanya, pemiliknya memberi alasan yang tidak masuk akal iaitu kelewatan disebabkan memesan makanan di kaunter bukannya di meja.

Dalam hal ini, apa salahnya mengaku kesilapan dan meminta maaf sahaja kerana jika pelanggan tidak berkunjung ke situ, mereka pun tidak dapat membuka perniagaan. Apabila tidak membuka kedai, sudah tentu tiada pendapatan yang masuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI