SA BERSATU(PBB), New York – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran kelmarin bahawa kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menjadi semakin buruk dengan 1.6 bilion penduduk diramal akan terjejas.
“Kesan perang ini terhadap keselamatan makanan, tenaga dan kewangan adalah serius serta semakin buruk,” kata Guterres semasa membentangkan laporan kedua PBB berhubung impak konflik tersebut.
Menurutnya, perang Rusia-Ukraine menanti untuk mencetuskan gelombang kelaparan dan kesengsaraan kepada penduduk dunia selepas mencetuskan krisis ekonomi serta sosial.
Tambah Guterres, krisis makanan tahun ini berkisar kepada ‘ketiadaan akses’, namun situasi akan menjadi lebih buruk pada 2023 apabila dunia berdepan ‘kekurangan makanan’.
“Hanya satu cara untuk menghentikan semua ini iaitu pencerobohan Rusia ke atas Ukraine perlu berakhir,” tegasnya.
Kata Guterres beliau telah meminta rakan-rakan sekerjanya untuk membantu ‘mencari jalan supaya produk makanan Ukraine dapat dieksport dengan selamat melalui Laut Hitam di samping akses pasaran global untuk makanan dan baja Rusia.’
“Penyelesaian ini penting kepada ratusan juta orang di negara-negara membangun,” katanya.
Laporan PBB diketuai oleh diplomat Rebeca Grynspan itu menyatakan, 94 negara yang didiami sekitar 1.6 bilion penduduk amat terdedah kepada sekurang-kurangnya satu kesan buruk perang tersebut dan ‘tidak berdaya menanganinya’.
“Daripada 1.6 bilion orang, 1.2 bilion atau tiga perempat tinggal di negara-negara yang begitu terdedah terhadap tiga kesan buruk perang ini iaitu kewangan, makanan dan tenaga secara serentak,” kata Grynspan.
Menurut laporan sama, perang Rusia-Ukraine akan meningkatkan bilangan penduduk yang berdepan krisis makanan kepada 47 juta orang tahun ini dan menjadi 323 juta orang menjelang akhir 2022. – AFP