SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan permohonan untuk menarik diri mewakili guru yang disaman balas oleh pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam berhubung gurauan isu merogol.
Permohonan untuk menarik diri daripada mewakili Khairul Nizam Sanuddin, 44, difailkan di Mahkamah Sesyen Klang (Bahagian Sivil). Permohonan itu turut disertakan dengan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Peguam Persekutuan Muhairi Mohamed Noh.
Berdasarkan afidavit sokongan, permohonan tersebut dibuat kerana Khairul Nizam masih lagi diwakili peguamnya dan wujud pertindihan dalam perwakilan.
“Permohonan ini tidak menimbulkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak dalam tindakan ini,” kata afidavit sokongan itu.
Sebelum ini, pada 4 Mac lalu, Ain Husnina atau nama sebenarnya Nurain Husniza ,18 dan bapanya, Saiful Nizam Ab. Wahab ,43, yang disaman guru itu memfailkan tuntutan balas dengan menamakan bekas gurunya, Khairul Nizam Sanudin, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Sarimah Mohammed Nor dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M. Noh masing-masing sebagai defendan pertama pertama hingga ketiga.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan kerajaan Malaysia yang merupakan defendan keempat dan kelima.
Ain Husniza dan bapanya selaku mendakwa menyatakan guru terbabit, Khairul Nizam telah memulakan pembelajaran bertajuk ‘Serangan Seksual Dan Kelakuan Aksi Seksual, Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual, Punca dan Kesan Gangguan Seksual’ kepada kesemua pelajar kelas 5 Fitrah sekolah berkenaan.
Menurut plaintif pertama (Ain Husniza) ia merupakan kali pertama kelas pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS) diajar dengan mencampurkan kehadiran pelajar lelaki dan perempuan sedangkan kelas tersebut sebelum ini diasingkan mengikut jantina pelajar dan guru yang mengajar adalah dari jantina yang sama.
“Defendan pertama memulakan sesi pelajaran tersebut dengan memperkenalkan pelbagai bentuk gangguan seksual dan kemudiannya, Defendan Pertama dengan sengaja telah mengungkapkan beberapa pernyataan yang tidak sopan dan jenaka-jenaka lucah,” kata plaintif.
Sebelum itu pada April tahun lalu, Khairul Nizam selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Nurain Husniza dan bapa remaja itu Saiful Nizam masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut pernyataan tuntutan plaintif yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) di SMKPA di sini telah menyentuh sub-topik “Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual” yang terkandung di bawah tajuk PEERS.
Plaintif menafikan ada membuat lawak lucah atau lawak berkenaan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJPK tersebut serta tiada galakan kepada perlakuan rogol malah ianya adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman dan pengajaran.
Plaintif sepanjang sesi pembelajaran itu turut mendakwa dia telah menekankan kesan dan akibat gangguan seksual kepada pemangsa dan mangsa. – KOSMO! ONLINE