PEMAIN sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui bagaikan tidak percaya dapat menjaringkan gol pertama di pentas antarabangsa selepas membantu pasukan menewaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Bintang kelab Terengganu FC (TFC) itu menjadi salah seorang daripada tiga pemain negara yang menjaringkan gol selain Safawi Rasid dan La’Vere Corbin-ong untuk menghadiahkan tiga mata berharga pada kempen Kumpulan E.
Faisal yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkata, rakan-rakan sepasukan telah mendengar arahan taktikal yang ditetapkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan berjaya membuktikan keupayaan sebenar di atas padang.
“Saya akui sangat gembira apabila dapat menjaringkan gol pertama dalam karier di pentas antarabangsa yang sememangnya diimpikan oleh semua orang.
Namun, saya tidak boleh mendabik dada kerana pujian wajar diberikan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain.
“Saya lihat apa yang kita tampilkan kali ini serba menjadi dan saya memang tak sangka rakan sepasukan dapat merealisasikan perancangan jurulatih dengan baik malam ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Faisal turut menyeru agar semua pemain kekal fokus di atas padang meskipun ada ketika keputusan pengadil perlawanan tidak memihak kepada pasukan.
“Kami sedia maklum bahawa pengadil di pentas antarabangsa sedikit tegas dan tidak seperti yang kami harungi dalam kancah Liga Malaysia. Selagi tiada wisel ditiupkan oleh pengadil, pasukan perlu teruskan permainan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Malaysia akan meneruskan saingan bertemu gergasi Asia Barat, Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E malam esok. Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan Malaysia kali terakhir beraksi di kejohanan berprestij itu pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama.