fbpx

Bekas pemandu van sekolah derita asma, tiroid rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahim dan isterinya, Salmiah reda dalam menjalani kehidupan secara sederhana ketika ditemui di rumah sewa mereka di Teluk Kumbar, Balik Pulau kelmarin.

BALIK PULAU – Jika sebelum ini kehidupan lima beranak berada dalam keadaan selesa, namun sejak lima tahun lalu, cara hidup mereka berubah apabila terpaksa bersederhana dalam perbelanjaan seharian.

Semuanya selepas ketua keluarga, Abdul Rahim Chik, 60, diserang penyakit asma dan tiroid menyebabkan dia terpaksa berhenti menjadi pemandu van sekolah kerana mudah penat serta sering pitam.

Situasi itu menyebabkan dia kehilangan pendapatan seba­nyak RM1,000 sebulan dan kini bergantung kepada upah menjual hasil laut secara kecil-kecilan dengan upah RM50 bagi dua hari.

Selain itu katanya, dia dan isteri, Salmiah Md. Isa, 51, turut bergantung kepada pendapatan tidak menentu dua anak mereka yang bekerja sebagai nelayan.

“Sudah lima tahun berhenti membawa van sekolah. Dahulu bolehlah dapat RM1,000 sebulan, tetapi sekarang hanya mengharapkan upah menjual hasil laut dengan upah antara RM30 hingga RM50 untuk dua hari.

“Apabila tiba musim durian, saya kuatkan semangat mengambil upah berniaga buah hasil kebun anak saudara di hadapan pekarangan rumah,” katanya.

Tambah Abdul Rahim, dia tidak lagi mampu untuk bekerja dan aktif seperti dahulu kerana sering mengalami pening dan pitam.

“Pendapatan utama memang tiada, cuma mengharapkan bantuan ihsan barangan keperluan daripada pelbagai pihak terma­suk dua anak lelaki berusia 26 dan 30 tahun,” luahnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, pendapatan yang tidak seberapa membuatkan dia dan keluarga hanya mampu menyewa kediaman yang dilengkapi sebuah bilik di Kampung Nelayan di sini sejak 20 tahun lalu.

“Kami tidak berdaya untuk memiliki kediaman sendiri dan hanya mampu menyewa di rumah yang serba kecil dan dilengkapi dengan sebuah bilik tidur pada harga RM300 sebulan.

“Saya terima ujian Allah ini dengan hati yang cekal. Saya percaya, setiap apa yang berlaku akan ada hikmahnya nanti.

“Cuma saya kini begitu berharap menerima bantuan bulanan daripada pihak Zakat Pulau Pinang atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos sara hidup,” ujarnya yang perlu mendapat rawatan susulan di hospital setiap bulan.

Bagi mereka yang ingin membantu Abdul Rahim boleh menghubunginya di talian 017-269 7564 atau ke akaun Agro Bank bernombor 2007131 000052189 (Abdul Rahim Chik).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI