fbpx

Agong berkenan menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji Seri Paduka Baginda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika memeriksa barisan perarakan panji-panji bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Sebaik baginda tiba pukul 8.30 pagi, nyanyian lagu Negaraku dimulakan sambil diiringi 21 Das Tembakan Meriam Kehormat sebelum lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen daripada tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kontinjen terlibat adalah Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perbarisan mengarak panji-panji adalah satu istiadat gilang-gemilang kepada ATM yang mana panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar serta disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Istiadat ini diadakan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu pada tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Selepas kali terakhir diadakan pada 2019, istiadat tersebut yang sepatutnya diadakan pada 2021 tidak dapat dilaksanakan susulan penularan pandemik Covid-19, namun selaras dengan peralihan negara ke fasa endemik, Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk istiadat berkenaan dilaksanakan pada tahun ini.

Istiadat tersebut telah melibatkan seramai 131 pegawai dan 1,066 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang mana seramai 57 pegawai dan 847 anggota LLP yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Leftenan Kolonel Mohd. Fadzly Mohd. Yasin adalah mereka yang terlibat dalam perbarisan istiadat berkenaan.

Sebanyak lima buah pesawat ATM turut terlibat iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM.

Formasi berkenaan telah diketuai oleh Mejar Nazrul Nizam Ismail TUDM dari No. 10 Skuadron bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil.

Keseluruhan perbarisan pada pagi ini telah diiringi oleh gabungan daripada pancaragam ATM di bawah pimpinan Mejar (DOM) Muhamad Nor Azizan Yahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI