KUALA LUMPUR – Kerap diberi watak antagonis, pelakon Adam Corrie mengakui bosan kerana sering menjayakan karakter jahat seperti gengster sepanjang karier lakonannya.
Menurut pemilik nama penuh Adam Corrie Lee Abdullah, 54, disebabkan kerap diberi kepercayaan menjayakan watak jahat, persepsi orang ramai terhadapnya juga turut berubah ke arah negatif.
“Asal jahat saja saya. Saya sebenarnya bosan. Kadang-kadang persepsi umum bila lihat seperti memang orang jahatlah.
“Tolonglah bagi saya watak baik pula, saya pun mahukan kepelbagaian dan pegang karakter lain juga,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.Adam
Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar dan pelancaran telefilem Bangkitkan Aku Kembali di sini, baru-baru ini.
Inginkan perubahan, dia yang terkenal menerusi watak Dragon menerusi filem KL Gangster berharap pihak produksi khususnya pengarah dan penerbit memberi peluang kepadanya untuk meneroka karakter lain dalam mana-mana karya selepas ini.
Bukan kerana ingin menolak rezeki, Adam menegaskan hanya ingin orang ramai melihat potensi lain dalam dirinya berbanding hanya memegang watak antagonis.
“Baru-baru saya ini dapat satu tawaran watak jahat juga. Ada satu lagi tawaran berlakon filem. Pun watak jahat juga.
“Biar orang nampak saya dengan watak berbeza. Saya pun banyak buat forum di masjid, surau dan universiti.
“Saya nak sangat bawa watak sebegitu untuk tunjukkan kepada orang ramai bahawa saya mampu lakukannya.
“Bukan nak terlalu memilih watak, kalau boleh berikan saya kepercayaan untuk bawakan watak lain dengan baik dan insya-Allah orang terima,” katanya.
Dalam pada itu, impiannya untuk memegang watak sebagai seorang ustaz terlaksana menerusi telefilem Bangkitkan Aku Kembali sebagai Ustaz Daniel.
“Ini pertama kali saya dapat pegang watak lain iaitu sebagai Ustaz Daniel.
“Sangat teruja ditambah pula penampilan saya sebagai ustaz dalam cerita ini bukan seperti ustaz klise yang memakai jubah, berserban atau memegang tasbih.
“Agak mencabar tetapi inilah yang saya nanti-nantikan selama ini, sekurang-kurangnya dapat lari dari kebiasaan,” ujarnya lagi.
Selain Adam, Bangkitkan Aku Kembali turut menampilkan lakonan Amy Nur Tinie, Aishah Azman, Danial Dashuki dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE