PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan seramai 15 rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya di Muzdalifah dekat Mekah, Arab Saudi semalam.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kesemua mereka merupakan pekerja sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dalam projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Tanah Suci.
“Susulan nahas melibatkan bas pekerja yang terbabas itu, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital An Nur dan Hospital Raja Faisal di Mekah bagi mendapatkan rawatan.
“Dua daripada mangsa mengalami kecederaan serius patah tulang bahu dan tengkuk, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar,” kata kenyataan itu hari ini.
Mangsa terbabit telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung insiden kemalangan tersebut.
Wisma Putra menambah, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan mereka serta bersedia menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.
Pada masa yang sama, pihak kementerian berkenaan mendoakan agar kesemua mangsa terbabit akan kembali pulih dengan seberapa segera.- KOSMO! ONLINE