fbpx

Watak jahat, orang nak ludah, itu kepuasan – Lana Nodin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK kisah dibenci kerana lakonannya, Lana berkata, itu bermakna dia sudah melakukan yang terbaik sebagai pelakon.

PETALING JAYA – Menjawab tohmahan segelintir pihak yang tidak mengerti tuntutan kerja seorang pelakon sehingga kadang-kadang terpaksa mendedahkan aurat, pelakon dan usahawan, Lana Nodin menegaskan khalayak perlu tahu membezakan antara lakonan dan dunia realiti.

Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin bagaimanapun cukup faham bahawa Malaysia sebagai sebuah negara majoriti rakyatnya Muslim mudah ‘tergugat’ atau triggered dengan sesuatu yang tidak lazim di mata mereka.

“Dulu saya selalu dikecam masa filem Remp-It. Kena faham, itu saya menjayakan atau melakonkan watak. Iyalah, kita negara Islam dan kebanyakan pelakon bangsanya Melayu Muslim.

“Apabila diberikan sesebuah naskhah itu, sebagai seorang pelakon, kita perlu melunaskannya sebaik mungkin.

“Pada masa sama, perlu juga berlandaskan garis panduan dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Kadang-kadang mana-mana penulis skrip dan pengarah, mereka buat drama atau filem, tapi tak tahu sama ada lepas atau sebaliknya untuk ditayangkan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Lana, 42, ditemui pada sidang media jenama Festival beli belah, StarVendors bersempena Sambutan Minggu Usahawa Negara dan Kedah Raya Fest 2022 di ibu negara semalam.

Jelas pelakon filem Gol & Gincu itu lagi, terpulang kepada mana-mana pelakon tentang pemilihan wardrobe dan juga watak yang akan menyebabkan cemuhan dalam kalangan audiens.

“Kalau saya, pakai sahaja (apa disediakan) tapi terpulang kepada individu. Kalau rasa tak selesa dan sebelum dapat skrip, kita dah baca.

“Takkanlah episod ke-18, baru macam ‘hei aku tak nak buatlah’. Mengadalah kalau begitu.

“Misalnya, watak seorang penggoda. Bila kau goda, godalah betul-betul. Kalau goda sekerat sahaja baik tak payah berlakon.

“Kalau tiba-tiba macam tak nak pegang, tak selesa sedangkan produksi dah ‘brief’ awal-awal, tak payah cakap pengarah, saya sendiri yang akan ‘sound’ di set penggambaran,” ujarnya.

Terkenal sebagai seorang pelakon antagonis, Lana berkata, dia sanggup menerima kecaman dan kalau itu berlaku bermakna, lakonannya menjadi.

“Kalau saya dapat watak jahat dan nak ludah saya kat luar ke, bagi saya itu kepuasan sebagai seorang pelakon.

“Dapat menghidupkan sesuatu watak itu. Orang tak suka, lagi saya suka dan itulah kepuasan sebenar menjadi seorang pelakon. Maknanya, dah buat kerja dengan baik,” getusnya.

Terbaharu, Lana bakal menjayakan watak pengasas produk kecantikan dalam sebuah nakshah berjudul Pengantin Tak Jadi dan sanggup menempah baju sendiri.

“Pengasas kosmetik yang ‘over’ dan sudah tentu semua kena melebih-lebih termasuk baju. Jadi, saya cakap dengan produksi saya tempah baju sendiri.

“Saya tak selesa pakai baju yang ditaja sebab badan saya kecil. Takut tak kena dengan cita rasa saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI