KOTA BHARU – Seorang warga emas maut dipercayai dipukul jirannya dengan sebatang kayu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka mengenai tanaman pokok berhampiran rumah mereka di Jalan Kelochor di sini hari ini.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah oleh isterinya.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan siasatan mendapati berlaku salah faham antara mangsa dan jirannya yang juga berusia dalam lingkungan 60-an.
Menurutnya, lelaki itu dikatakan memarahi mangsa kerana menanam pokok di kawasan jalan sehingga menyebabkan kenderaan suspek sukar melalui laluan tersebut.
“Suspek yang tidak berpuas hati mengambil sebatang kayu sebelum memukul mangsa yang tinggal bersama isteri dan seorang anaknya.
“Mangsa mengalami luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala selain kesan calar pada tangan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, hasil bedah siasat mendapati, warga emas itu meninggal dunia akibat serangan jantung dan kecederaan yang dialaminya.
Katanya, suspek yang mengaku memukul warga emas itu telah ditahan dan polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh – KOSMO! ONLINE