SHAH ALAM – Kesemua Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara akan beralih kepada urus niaga pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bermula 1 Julai depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail berkata, kaedah baharu bayaran itu akan melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan dengan pihaknya yakin urus niaga tanpa tunai itu akan melancarkan proses dan operasi pemeriksaan.
Katanya, pembayaran tanpa tunai, pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas sememangnya sudah dilaksanakan sejak April tahun lalu.
“Namun, bayaran tunai masih dibenarkan ketika itu atas pertimbangan masih ada pelanggan tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit.
“Data bagaimanapun menunjukkan lebih 90 peratus pelanggan kini menggunakan transaksi tanpa tunai di semua cawangan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Shukor, kaedah pembayaran tanpa tunai itu menjadi pilihan kerana lebih mudah dan cepat.
“Peralihan transaksi itu dilihat menjimatkan masa dan lebih selamat terutama ketika pandemik Covid-19. Ia adalah selaras dengan aspirasi untuk mendigitalisasikan sepenuhnya urusan Puspakom,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE