fbpx

Stevan Pasaribu diberi upah nasi ganti wang persembahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STEVAN PASARIBU

“TERNYATA belum siap aku, kehilangan dirimu, belum sanggup untuk jauh darimu, yang masih selalu ada dalam hatiku”.

Itu bait-bait lirik berhantu yang mungkin pernah anda dengari sama ada secara sengaja mahupun tidak, tidak kiralah menerusi radio atau dalam platform media sosial seperti YouTube, TikTok mahupun Instagram.

Lagu berjudul Belum Siap Kehilangan tersebut merupakan karya penyanyi lelaki dari Indonesia yang kian meningkat naik ketika ini.

Di sebalik lagu yang pernah tular dalam TikTok sekitar penghujung tahun lalu itu, mungkin ramai masih samar-samar atau barangkali tidak mengenali siapakah pemilik vokal tersebut.

Stevan Pasaribu. Ya, itulah pemilik suara unik yang sering kali kita dengari vokal mantapnya dimainkan dalam media sosial.

STEVAN tidak menyangka single keduanya berjudul Belum Siap Kehilangan diterima ramai peminat luar negara seperti Malaysia.

Menyorot kembali perjalanan seninya sebagai penyanyi, Stevan mengakui, untuk dikenali seperti hari ini, semua itu bukan satu laluan mudah untuknya.

Katanya, dia mula menjadi artis rakaman sekitar 2019 selepas banyak menyanyikan semula lagu-lagu saduran dalam YouTube sebelum dilamar sebagai penyanyi rakaman.

“Ya, kalau ikutkan, minat menyanyi itu sudah ada sekitar umur saya tiga tahun lagi. Kebetulan kedua-dua ibu bapa juga merupakan guru muzik.

“Jadi, sejak kecil lagi saya memang sudah terbiasa didedahkan dan dididik dengan muzik.

“Mereka (ibu bapa) juga mahu saya menjadi penyanyi apabila sudah besar nanti,” katanya menerusi satu temu bual baru-baru ini.

AKUI jejaka berkulit sawo matang ini, pengalaman ditipu dan tidak dibayar menjadi kekuatan buatnya untuk terus berkarya.

Tambah jejaka kelahiran Padang Sidempuan, Sumatera Utara berketurunan Batak itu, minat mendalamnya terhadap muzik diteruskan sehingga ke peringkat universiti apabila nekad menyambung pengajian dalam jurusan tersebut di Institut Kesenian Jakarta.

Di universiti juga, Stevan pernah menubuhkan sebuah band kampus bernama Stevan & Friends, namun hanya bertahan beberapa tahun sebelum dibubarkan.

“Ya, sempat juga saya bersama teman-teman yang sealiran minat menubuhkan band itu, tapi sayang tidak bertahan lama.

“Salahnya pada saya juga kerana terlalu sibuk dengan kuliah sehingga band tersebut terabai. Lagi satu, lama-kelamaan saya berasakan hati saya lebih kepada menjadi penyanyi solo, bukannya berkumpulan,” katanya.

Ditipu

Berkongsi lanjut, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, usai tamat pengajian, dia pernah ditawarkan sebuah label untuk dijadikan artis rakaman.

Dek kerana masih hijau dan tidak pernah ada pengalaman dalam industri muzik, Stevan memberitahu dia pernah ditipu bukan sahaja dari segi bayaran tetapi juga kontrak.

POPULARITI Stevan Pasaribu kini berkat kerja kerasnya selama bertahun-tahun sebelum disunting sebagai bergelar penyanyi rakaman.

“Itulah pengalaman paling saya tidak boleh lupakan saat ditipu. Bilangnya mahu dijadikan artis rakaman, tetapi pada penghujungnya hanya sandiwara.

“Bukan itu sahaja, pernah juga saya tidak dibayar selepas membuat persembahan seperti apa yang dijanjikan.

“Paling lucu dan memang akan diingati sampai bila-bila, saya pernah diberi nasi yang diisi dalam kotak bersama lauk-pauk bagi menggantikan bayaran usai persembahan,” ujarnya ketawa.

Stevan bagaimanapun menyimpan kemas semua pengalaman tersebut sebagai penguat semangat untuknya terus mara ke hadapan tanpa kenal erti putus asa.

Inspirasi, mendiang bapa

Tutup soal ditipu dan nasi kotak, Stevan yang tidak pernah menyangka rezekinya hingga ke tahap ini memberitahu, dia bersyukur setiap langkah yang dijalani dengan tekad selama ini.

Setelah melalui perit jerih dan pengalaman mematangkan, rezekinya bergelar penyanyi dikabulkan Tuhan saat video lagu sadurannya dalam YouTube mencuri perhatian komposer dan pemuzik terkenal, David Noah.

KONGSI Stevan, lagu hitnya, Belum Siap Kehilangan merupakan kisah sendiri apabila kehilangan bapa tercinta.

“Sejak dari situ (2019), impian saya bergelar penyanyi sudah menjadi kenyataan apabila David menghubungi dan menawarkan kolaborasi dalam projek albumnya.

“Bukan sahaja David, saya juga ‘dilamar’ Indra The Titan yang mahu berkolaborasi sekali gus, menjadi artis rakaman bawah label Musica.

“Jadi bermula dari situ mereka berikan beberapa naskhah lagu kepada saya sampailah Belum Siap Kehilangan diterima dan tular dalam media sosial,” tuturnya.

Dedah Stevan, lagu tersebut tercipta hasil idea asal bersama yang diinspirasikan daripada kisah benar iaitu mendiang bapanya.

“Lagu tersebut memang ada kaitan dengan kisah peribadi saya. Saya kehilangan ayah selepas dia terkena angin ahmar ketika saya berada dalam semester dua di universiti.

“Belum siap kehilangan. Itulah maksud yang saya cuba sampaikan. Dalam erti kata lain, walaupun reda dan menerima ketentuan Tuhan, tapi jauh dari sudut hati, tak pernah siap untuk kita kehilangan orang yang disayangi.

“Lagu itu diterima baik pendengar bukan hanya di Indonesia, tetapi di Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Terima kasih untuk sokongan, buat peminat di Malaysia, doakan moga saya dapat bertemu anda nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI