fbpx

Segera laksana projek KB Sentral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh yang sesak sejak 10 tahun.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

BARU-BARU ini, tular keadaan Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh yang sesak sehingga ada yang membuat perbandi­ngan stesen bas itu dengan terminal bas di bandar lain.

Ada yang menyamakan terminal yang pada asalnya stesen bas ekspres sementara tidak ubah seperti kandang lembu kerana penumpang perlu bersesak, tiada ruang selesa dan kemudahan awam rosak.

Selepas kecoh mengenai isu itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memaklumkam pihaknya akan mengadakan majlis pecah tanah Projek pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Tunjong bulan ini.

Projek menggantikan Terminal Bas Kota Bharu itu mengalami kelewatan kerana tiada kontraktor.

Menurut penduduk Kota Bharu, Johan Ramli, 46, terminal bas itu asalnya terletak di Jalan Hamzah dan operasi di tengah-tengah bandar yang berjalan selama 25 tahun.

“Terminal bas itu kemudian dipindahkan sementara ke Lembah Sireh. Selepas lebih 10 tahun, terminal itu masih di situ. Ope­rasinya berjalan seperti biasa sampai hari ini.

“Selepas isu ini tular, saya lihat pihak berkuasa kembali bersungguh-sungguh untuk membina KB Sentral sedangkan ia sudah lama diperkatakan,” katanya.

Mengulas mengenai isu sama, Presiden Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali menggesa kerajaan negeri atau Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) segera mencari penyelesaian mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, isu itu tular berikutan penduduk sudah muak melihat Terminal Bas Kota Bharu yang dilihat seolah-olah tiada pembaharuan.

“Kebanyakan pnumpang bas ekspres terdiri daripada golo­ngan B40. Saya berpendapat, kerajaan perlu mengutamakan kemudahan rakyat dengan membangunkan fasiliti yang lengkap untuk mereka,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri supaya fasiliti itu di­uruskan oleh pihak swasta se­perti di Terminal Bas Butterworth, Pulau Pinang dan Terminal 1, Se­remban.

Katanya, langkah pen­swastaan itu merupakan kaedah terbaik jika kerajaan negeri tidak mempunyai dana atau belum melantik kontraktor.

“PMBOA sedia memberi cadangan kepada kerajaan negeri dan MPKB-BRI untuk pembangunan dan rekaan KB Sentral sekiranya diperlukan. Isu ini bukan baharu, malah sudah lama berlarutan dan memerlukan jalan penyelesaian segera.

“Selain menjaga aspek kebajikan pengusaha bas, kami juga mengambil berat terhadap penumpang. Apabila mereka tidak selesa berada di stesen bas, ia juga pastinya memberi kesan kepada pengusaha bas dan berkemungkinan orang ramai tidak mahu lagi menaiki pengangkutan awam,” kata beliau.

Mohamad Ashfar membe­ritahu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa kini sedang menjalani proses dinaik taraf untuk dijadikan lapangan terbang antarabangsa sekali gus mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, projek pembinaan KB Sentral juga perlu disegerakan kerana bukan semua rakyat di Kelantan mampu membeli tiket kapal terbang semata-mata untuk merasai perkhidmatan yang bertaraf lima bintang untuk perjalanan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI