AMSTERDAM – Bekas penyerang Manchester United, Robin van Persie percaya pengendali baharu pasukan itu, Erik Ten Hag mengambil keputusan tepat untuk keluar daripada ‘zon selesa’ bersama Ajax Amsterdam bagi membimbing The Red Devils musim depan.
Kata Van Persie, penyokong fanatik United akan setia berada di belakang Ten Hag tidak kira ketika menang atau tewas dan sudah tentu musim depan pasukan itu mampu memberikan cabaran dalam usaha menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 2013.
“Saya lihat United memiliki penyokong terbaik di dunia kerana mereka cukup menghormati pemain tidak kira mereka masih aktif atau sudah bersara.
“Ia terbukti apabila selepas saya berhijrah ke Fenerbahce, mereka masih menghargai apa yang saya lakukan untuk pasukan ketika menjulang trofi EPL terakhir musim 2013 dan itulah yang saya alami seumur hidup saya.
“Secara jujur, England adalah negara terbaik untuk anda hidup bersama keluarga, malah tiada siapa boleh menafikan liga bola sepak di sana paling kompetitif. Keadaan stadium serta padang di sana pasti membuatkan mana-mana pemain teruja untuk berikan 100 peratus,” katanya.
Sementara itu, Van Persie mengakui terpaksa menolak tawaran meskipun menjadi pilihan utama Ten Hag untuk menjadi penolong jurulatih United sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada Mitchell van der Gaag dan Steve McClaren.
“Bukan saya tidak mahu kembali berbakti di Old Trafford, tetapi buat masa ini saya mahu fokus dengan tugas selaku jurulatih skuad remaja Feyenoord selain memberi tumpuan penuh untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil di sini,” katanya. – AGENSI