PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pemegang empat jenis Lesen Memandu Malaysia (LMM) supaya memperbaharui lesen memandu masing-masing sebelum tarikh akhir moratorium berakhir 30 Jun ini.
Empat pemegang LMM itu termasuk Lesen Belajar Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL).
JPJ menerusi satu kenyataan hari ini berkata, arahan pembaharuan itu membabitkan pemegang LMM yang tamat tempoh bermula 13 Januari 2021.
“Orang ramai boleh membuat pembaharuan LMM itu menerusi kaunter JPJ, Pejabat Pos Malaysia dan MyEG,” katanya.
Tambahnya lagi, pemegang LMM yang gagal memperbaharui lesen masing-masing sebelum 30 Jun ini dikehendaki mengambil ujian semula untuk mendapatkan lesen berkenaan. – KOSMO! ONLINE