fbpx

Lonjakan denggi ancam Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menjalankan penyemburan asap bagi membunuh nyamuk Aedes di Woodleigh Close. - NEA

SINGAPURA – Pemerintah Singapura menyatakan bahawa republik itu sedang berdepan dengan situasi kecemasan bagi wabak demam denggi selepas mencatatkan lonjakan luar biasa penyakit bermusim tersebut awal tahun ini.

Menurut laporan stesen penyiaran CNN, kes denggi di Kota Singa setakat ini telah melepasi angka 11,000, satu jumlah yang jauh melebihi kes keseluruhan direkodkan sepanjang 2021 iaitu 5,258.

Lebih membimbangkan, 11,000 kes itu dicatat sebelum 1 Jun, iaitu tarikh yang kebiasaannya menandakan musim denggi bermula.

“Kes denggi dijangka meningkat dengan lebih cepat pada tahun ini.

“Ini adalah situasi kecemasan yang menuntut tindakan lebih proaktif bagi memastikan penularan denggi masih boleh dikawal,” kata Menteri Dalam Negeri, Desmond Tan.

Wabak denggi di Singapura telah diburukkan lagi dengan perubahan cuaca ekstrem sejak akhir-akhir ini dan musim kemarau berpanjangan. Hujan ribut di beberapa negara lain turut menyumbang kepada penyebaran virus itu ke seluruh dunia.

Justeru itu, pakar-pakar kesihatan memberi amaran bahawa situasi tersebut adalah amaran buat Singapura yang memiliki iklim tropika, sekali gus menjadi tempat pembiakan semula jadi nyamuk Aedes yang menyebarkan denggi ke seluruh dunia.

Perubahan dalam iklim global pula memberi bayangan bahawa wabak denggi tidak lagi menjadi penyakit bermusim, sebaliknya akan menyerang pada bila-bila masa di masa hadapan.

Pada 2019, dunia mencatatkan rekod sebanyak 5.2 juta kes denggi, manakala di seluruh Benua Asia, wabak itu telah membunuh beribu-ribu orang pada tahun yang sama.

Wabak denggi terburuk dalam sejarah Singapura berlaku pada tahun berikutnya apabila mencatatkan 35,315 kes dan 28 kematian.

Bagi tahun ini, Singapura yang sudah mengalami endemik denggi selama beberapa dekad setakat ini merekodkan satu kematian, namun peningkatan kes yang mendadak membuatkan pihak berkuasa lebih berhati-hati.

“Sehingga 28 Mei 2022, kira-kira 11,670 kes denggi telah dilaporkan dengan kira-kira 10 peratus kes memerlukan kemasukan ke hospital.

“Kemasukan pesakit denggi di jabatan kecemasan hospital meningkat berikutan lonjakan baru-baru ini tetapi kekal pada tahap terkawal,” kata seorang jurucakap Kementerian Kesihatan Singapura.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini berkata, denggi sudah diisytiharkan sebagai endemik di 100 negara sambil mendedahkan bahawa kes bertambah 30 kali ganda sejak 50 tahun lalu.

Denggi membawa simptom menyerupai selesema seperti demam panas, sakit kepala yang teruk dan sakit badan, serta dalam kes serius, ia boleh mengakibatkan berlakunya pendarahan, kesukaran bernafas, kegagalan fungsi organ serta meragut nyawa. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI